HAT YAI (THAILAND): Seramai 12 rakyat Malaysia yang positif dadah semasa berhibur di sebuah pusat hiburan terkenal di bandar ini pada 7 Mac lalu, tidak dibenarkan diikat jamin dan boleh ditahan sehingga 24 hari dari tarikh tangkapan bagi tujuan siasatan.
Sumber Polis Wilayah 9 berkata, tempoh tahanan itu diberikan kepada pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan sebelum kes dibawa ke mahkamah.
Katanya, selepas tempoh berkenaan, individu terbabit akan dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa mengikut peruntukan di bawah Kanun Narkotik Thailand.
“Kesalahan menggunakan dadah boleh didakwa mengikut Seksyen 104, 162, 113 atau 114 Kanun Narkotik Thailand yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda sehingga RM2,480 atau kedua-duanya sekali.
“Bagaimanapun, jika tertuduh mengaku bersalah, mahkamah lazimnya memberi peluang kepada mereka menjalani rawatan pemulihan dadah di bawah Seksyen 114 sehingga benar-benar pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut sumber itu, langkah rawatan tersebut bertujuan mengelak pesalah dihantar ke penjara, namun sekiranya tertuduh enggan menjalani rawatan yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 104.
Katanya, jika enggan mematuhi syarat rawatan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun dan denda tidak melebihi RM2,480.
Pada 9 Mac lalu, akhbar ini melaporkan, seramai 12 rakyat Malaysia ditahan selepas positif dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan terkenal di bandar ini.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif pil kuda dan ganja. – UTUSAN











