PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan segera meredakan suhu perkauman yang semakin memuncak ketika ini yang boleh mencetuskan sengketa perkauman sebagaimana tragedi 13 Mei 1969.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, komunikasi krisis yang jelas dan adil daripada kerajaan sangat diperlukan bagi mengelakkan salah faham, spekulasi dan prasangka atau peningkatan ketegangan yang tidak perlu.
Menurutnya, semua pihak termasuk pemimpin, pertubuhan dan platform media perlu sentiasa bertindak dengan lebih matang dan bertanggungjawab ketika mengulas atau melaporkan isu-isu begini.
“Pada masa seperti ini, Malaysia sangat memerlukan suara yang mententeramkan keadaan, bukan yang menyemarakkan ketegangan.
“Pas memandang serius ketegangan dan pertelingkahan terbuka melibatkan beberapa pertubuhan dan individu beragama Hindu dengan sosok tertentu dalam kalangan anggota masyarakat, terutamanya yang beragama Islam kebelakangan ini.
“Isu-isu berkait agama dan identiti kaum hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan, sikap tenang dan kepekaan mendalam terhadap sifat asasi masyarakat kita yang majmuk dan pelbagai,” katanya dalam kenyataan.
Takiyuddin berkata, sensitiviti berkait agama, sejarah dan tempat ibadat adalah amat dekat dengan semua komuniti dan kumpulan masyarakat.
Tambahnya, isu tersebut hendaklah ditangani secara berhemah dan matang, tanpa provokasi atau sikap melampau daripada mana-mana pihak.
“Percubaan untuk membingkaikannya dengan cara-cara yang menyuburkan syak wasangka, kebencian dan permusuhan antara komuniti atau kumpulan adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan mesti ditolak semua pihak.
“Keharmonian dan perpaduan rakyat kita yang pelbagai latar belakang kepercayaan dan budaya, selain kekal menjunjung hak dan kehormatan semua seperti yang dijamin oleh undang-undang Perlembagaan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh turut menyeru kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertindak melampau dengan melakukan ugutan, serangan terhadap kediaman serta membakar kenderaan individu tertentu.
“Perbuatan ekstrem seperti mengugut dengan kekerasan dan menyerang harta benda orang lain, jauh lebih berbahaya dan tidak boleh dipandang ringan.
“Ia memerlukan tindakan tegas dan keras kepada mereka yang terlibat. Jangan lihat sebelah pihak sahaja, pihak yang sebelah sana juga perlu dihukum,” katanya. – UTUSAN










