TEHERAN: Iran melancarkan gelombang serangan paling sengit dan dahsyat terhadap Israel serta negara-negara Teluk semalam, termasuk menyasarkan medan minyak di Arab Saudi dan kawasan berhampiran Lapangan Terbang Dubai.
Teheran memperhebatkan serangannya terhadap sasaran di rantau itu dengan menembak peluru berpandu selama tiga jam ke arah bandar-bandar di Israel.
Wartawan AFP melaporkan, siren serangan udara dan letupan kedengaran di Baitulmuqaddis.
Perkhidmatan kecemasan melaporkan tiada kecederaan, namun Channel 12 mengesahkan beberapa orang cedera di Tel Aviv.
Pengawal Revolusi Iran berkata, pasukannya turut menembak Bahrain dan Kurdistan Iraq, yang menempatkan kehadiran besar-besaran tentera AS, serta menyasarkan sebuah pangkalan udara AS di Kuwait.
Kuwait pula memaklumkan berjaya menembak jatuh lapan dron, tanpa memberikan butiran lanjut.
Dron dan peluru berpandu balistik juga dipintas di beberapa lokasi lain di Teluk, termasuk beberapa serangan menuju ke arah medan minyak Shaybah di Arab Saudi.
Arab Saudi memaklumkan berjaya memintas tujuh peluru berpandu balistik yang menyasarkan wilayah timurnya dan Pangkalan Udara Prince Sultan.
Pada masa sama, letupan turut kedengaran di Qatar, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan serangan baharu.
Di Bahrain, serangan Iran mencederakan puluhan orang, termasuk kanak-kanak di Sitra berhampiran Manama, dengan kebakaran berlaku di kemudahan Ma’ameer susulan serangan dron.
Dron turut dilaporkan jatuh berhampiran Lapangan Terbang Dubai, mencederakan empat orang, manakala beberapa kapal diserang berhampiran Selat Hormuz ketika Iran meneruskan kempen mengganggu pasaran minyak serta lalu lintas udara dan maritim.
Teluk yang kaya dengan minyak menanggung impak sebahagian besar serangan Iran sebagai tindak balas terhadap pencerobohan AS-Israel yang mencetuskan perang di Asia Barat.
Menurut Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), sebuah kapal kontena dan kapal kargo besar diserang di luar pesisir UAE, satu berhampiran Dubai dan satu lagi di Emirat utara Ras Al Khaimah oleh objek tidak dikenali.
UKMTO berkata, sebuah kapal ketiga juga diserang oleh projektil di luar Oman, di Selat Hormuz, mengakibatkan kebakaran yang kemudiannya dipadamkan.
“Nakhoda sebuah kapal pengangkut pukal melaporkan kapal mereka diserang oleh projektil yang tidak diketahui. Tiada laporan mengenai kesan alam sekitar. Anak kapal dilaporkan selamat,” menurut UKMTO.
Teheran dilihat cuba melumpuhkan kilang penapisan utama di Teluk sambil mengekang penghantaran melalui selat itu, dalam usaha untuk memberi kesan maksimum kepada ekonomi global.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kemudahan Ras Tanura milik Saudi Aramco, yang menempatkan kilang penapisan terbesar di Asia Barat, turut menjadi sasaran, selain kilang penapisan Ruwais di UAE, antara terbesar di dunia. – UTUSAN











