KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia yang berada di Dubai memaklumkan keadaan di bandar itu kekal tenang dan terkawal walaupun terdapat laporan mengenai ketegangan di rantau Asia Barat.
Apan Malek berkata, notis amaran yang diterima penduduk hanyalah langkah berjaga-jaga oleh pihak berkuasa dan bukan petanda berlakunya situasi darurat atau peperangan.
“Alhamdulillah keadaan di sini okey, tenang dan terkawal. Amaran notifikasi yang diterima lebih kepada langkah berjaga-jaga daripada pihak berkuasa.
“Tiada suasana panik atau perang, semuanya tenang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Apan yang bertugas di Dubai berkata, kebanyakkan orang awam di sana menjalani kehidupan seperti biasa tanpa sebarang gangguan keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial menyebabkan ahli keluarga di Malaysia menjadi risau walaupun situasi sebenar tidak membimbangkan.
“Bila pelbagai spekulasi dan cerita tidak benar bertebaran di media sosial, ahli keluarga mula menghubungi kerana terlalu risau.
“Sedangkan di sini tidak berlaku apa-apa keadaan yang tegang atau peperangan. Alhamdulillah, semua okay,” ujarnya.-UTUSAN










