PETALING JAYA: Semua kapal berdaftar di Malaysia dan syarikat perkapalan tempatan dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengelak daripada melalui Selat Hormuz sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan berkata, nasihat itu dikeluarkan bagi memastikan keselamatan pelayaran berikutan perkembangan keselamatan di rantau Asia Barat.
Agensi itu berkata, pengendali kapal Malaysia perlu menilai dan merancang semula laluan pelayaran dengan mengambil kira situasi keselamatan semasa.
“(Pengendali kapal juga dinasihatkan) untuk sentiasa memantau nasihat keselamatan maritim yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa antarabangsa berkaitan dan memastikan kapal dan anak kapal mengekalkan tahap kesiapsiagaan operasi tertinggi pada setiap masa,” katanya, hari ini.
Menurut JLM, semua langkah berjaga-jaga itu adalah penting berikutan peningkatan situasi keselamatan yang boleh memberi risiko kepada kapal, anak kapal dan kargo yang beroperasi di kawasan terjejas.
Jabatan itu berkata, semua pengendali kapal Malaysia yang beroperasi di dalam atau berhampiran kawasan terlibat dinasihatkan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi dan mengekalkan komunikasi yang aktif dengan pengurusan syarikat serta pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil jika diperlukan.
“Kerjasama semua pihak berkepentingan di dalam industri perkapalan amatlah dihargai dalam memastikan bahawa operasi pelayaran Malaysia kekal selamat, teratur dan berdaya tahan bagi berdepan risiko keselamatan antarabangsa yang berubah,” katanya.
Situasi di Asia Barat kembali bergolak selepas Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran sehingga mengakibatkan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh.
Susulan serangan Israel dan AS itu, Iran memberikan respon keras dengan mengebom beberapa lokasi strategik AS di Asia Barat termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Abu Dhabi dan beberapa kawasan lain.
Akibat daripada serangan itu, Iran juga dilaporkan membedil sekurang-kurangnya tiga buah kapal setakat ini yang melalui Selat Hormuz sejak kelmarin sekali gus menjadikan lokasi itu tidak sesuai untuk dilalui buat masa ini. – UTUSAN










