ALOR SETAR: Menjelang ketibaan hari lebaran tidak lama lagi, sepasang suami isteri warga emas di Kampung Lanchuk Tok Leed, Pokok Sena yang juga penoreh getah meraih pendapatan tambahan menjual daun palas kepada peniaga ketupat.
Hasnah Ishak, 66, dan suaminya, Mohamad Ismail, 64, kini menambah rutin harian mereka sejak seminggu lalu dengan meredah hutan berhampiran rumah bagi mencari daun palas yang tumbuh meliar.
Menurut Hasnah, permintaan daun palas biasanya meningkat ketara menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana ia digunakan untuk membuat ketupat.
“Waktu pagi kami keluar menoreh getah seperti biasa kerana itulah kerja hakiki kami, tapi pada penghujung Ramadan kami akan masuk ke kebun atau hutan semula bermula pukul 2 petang untuk mencari daun palas sehingga menjelang waktu berbuka puasa.
“Sudah 10 tahun saya bersama suami bekalkan daun palas kepada beberapa peniaga ketupat yang jadi pelanggan setia kami. Alhamdulillah dengan rezeki ini kami dapat tampung belanja pakaian dan makanan raya setiap tahun,” katanya ketika ditemui, semalam.
Hasnah berkata, setakat ini mereka sudah membekalkan lebih 8,000 batang daun palas yang setiap satunya terdapat sekitar 10 helai daun yang boleh dianyam jadi ketupat.
Katanya, di luar bulan Ramadan atau Syawal, permintaan daun palas tetap ada, namun tidak sebanyak ketika umat Islam membuat persiapan menyambut perayaan.
“Lagi pula daun palas sebelah kita ini lebih lembut berbanding tempat lain, jadi senang untuk dibalut semasa buat ketupat. Walaupun daun di sini pendek tetap masih boleh diambil, dengan syarat kena pilih yang daunnya belum terbuka kerana kalau sudah kembang tak boleh lagi nak anyam ketupat,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, walaupun kerja mencari daun palas pada bulan puasa agak memenatkan, namun dia bersyukur kerana masih diberi kesihatan untuk terus berusaha.
Menurutnya, kawasan belukar dan kebun yang menjadi tempat mereka mencari daun palas memerlukan dia dan Hasnah berjalan agak jauh sebelum menemui pokok yang sesuai.
“Kadang-kadang kena masuk kawasan semak tetapi kami sudah biasa kerana setiap tahun memang buat kerja ini. Yang penting dapat cari rezeki halal dan membantu peniaga ketupat yang memerlukan bekalan daun palas,” katanya. – UTUSAN










