KUALA LUMPUR: Jenama kasut antarabangsa, Bata terus memperkukuh kedudukannya sebagai jenama gaya hidup moden yang relevan dengan perubahan citarasa pengguna serta landskap peruncitan yang semakin kompetitif.
Ia terbukti apabila jenama itu meraikan ulang tahun ke-131 di peringkat global dan 95 tahun di Malaysia, baru-baru ini.
Pengarah Urusan Bata Malaysia dan Singapura, Rabi Hasnabi berkata, Malaysia memainkan peranan unik dalam perjalanan syarikat kerana hubungan akrab jenama itu dengan masyarakat tempatan yang menjadikannya sebahagian daripada kehidupan seharian sejak hampir satu abad lalu.
Menurutnya, Bata kini berazam melakukan transformasi menyeluruh untuk menjadi jenama gaya hidup moden yang bukan sahaja dikenali kerana kasut sekolah, tetapi juga kerana gaya kontemporari dan teknologi keselesaan.
“Selama 95 tahun, Bata telah menjadi sebahagian daripada keluarga di Malaysia, daripada kasut sekolah yang dipakai generasi demi generasi, sehinggalah kasut pertama ketika melangkah ke alam pekerjaan.
“Kami istimewa kerana mampu mengekalkan keseimbangan antara kualiti dan harga berpatutan tanpa sebarang kompromi. Dalam pasaran yang semakin sengit, kami memilih untuk meningkatkan standard dengan menekankan aspek gaya, teknologi keselesaan dan inovasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Rabi menjelaskan hala tuju baharu syarikat tidak sekadar tertumpu kepada penjualan kasut, sebaliknya melibatkan usaha membentuk identiti gaya hidup masyarakat.
“Masa depan Bata adalah tentang bagaimana rakyat Malaysia bergerak maju dengan penuh gaya, keselesaan dan keyakinan. Dengan cara itu, setiap langkah yang diambil pelanggan kami akan menjadi cerminan falsafah The future wears Bata,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Rabi turut berkongsi perancangan untuk memperkukuh kedudukan Bata sebagai jenama gaya hidup dengan memberi tumpuan kepada teknologi keselesaan serta koleksi fesyen kontemporari.
“Kami percaya keseimbangan antara gaya, keselesaan dan harga mampu milik adalah kekuatan sebenar Bata yang menjadikan jenama ini relevan merentasi generasi.
“Bersama-sama, kita akan terus melangkah setiap langkah, dari langkah pertama hingga masa depan,” katanya.
Sementara itu, pemilik aktif Kumpulan Bata, Christine Bata berkata, komitmen kepada warisan, budaya dan komuniti kekal menjadi asas jenama ini sejak ditubuhkan oleh datuknya, Tomáš Baťa pada 1894.
“Walaupun Bata kini beroperasi di lebih 56 negara, setiap pasaran diberikan keutamaan tersendiri,” jelasnya. – UTUSAN










