KUALA LUMPUR: Petron Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperluaskan rangkaian stesen minyaknya di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha menjadi jenama pilihan rakyat Malaysia.
Pengurus Besar Petron Malaysia, Mohd. Nizam Mansor berkata, syarikat kini mengendalikan kira-kira 816 stesen minyak di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Katanya, pihak syarikat mensasarkan untuk membuka antara 40 hingga 50 stesen baharu setiap tahun, bergantung kepada kelulusan tapak dan proses pembinaan.
“Kempen kami ini adalah sebagai satu komitmen bahawa kami adalah stesen Petron yang terkenal dengan servis cemerlang, layanan mesra dan merupakan ‘neighbourhood station’ yang patut dikunjungi oleh semua pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita sempena majlis minum petang bersama media di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pertambahan stesen baharu bagi tahun ini masih dalam proses, memandangkan pembukaan stesen baharu memerlukan masa disebabkan faktor seperti penukaran status tanah dan kerja-kerja pembinaan.
“Setakat ini, syarikat telah mencapai kira-kira separuh daripada sasaran tahunan dan menjangkakan untuk menyiapkan lebih banyak stesen menjelang akhir bulan depan.
“Lokasi pembukaan stesen baharu turut memberi tumpuan kepada kawasan yang belum menerima perkhidmatan mencukupi, termasuk kawasan perumahan baharu serta lokasi strategik di sepanjang lebuh raya utama.
“Malaysia adalah pasaran yang terus berkembang dan masih banyak kawasan yang boleh kita penuhi dengan stesen Petron,” tambahnya.
Jelasnya, strategi pengembangan ini dilihat sebagai langkah proaktif Petron dalam meningkatkan daya saing dan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna di seluruh negara, terutama dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.
Dalam majlis yang sama, Petron Malaysia melancarkan kempen PASTI OK, satu inisiatif istimewa yang mengukuhkan komitmen syarikat untuk memberikan pengalaman mesra, inklusif dan positif kepada semua pelanggan.
Bagi Petron, stesen minyak bukan sekadar tempat mengisi minyak.
Ia adalah lokasi di mana pelanggan disambut dengan layanan mesra, senyuman ikhlas dan kemudahan yang sentiasa bersih dan terjaga, menjadikan setiap kunjungan bukan sahaja mudah,tetapi juga bermakna.
Kempen PASTI OK menonjolkan identiti Petron sebagai stesen minyak mesra kejiranan untuk semua.
Menyokong Inklusiviti, satu isyarat pada satu masa sebagai simbol inklusiviti, kempen ini turut menampilkan isyarat tangan PASTI OK dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang disahkan oleh Persekutuan Orang Pekak Malaysia.
Ini mencerminkan usaha Petron untuk menyediakan persekitaran mesra kepada semua, termasuk komuniti pekak dan kurang pendengaran.-UTUSAN