KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menubuhkan Sekretariat Perjanjian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sedang dipertimbangkan secara serius oleh negara-negara anggota perjanjian tersebut.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara ini dibincangkan secara mendalam dalam Mesyuarat Pemimpin RCEP dengan tujuan utama untuk memperkukuh struktur pentadbiran dan operasionalisasi RCEP agar lebih tersusun dan berkesan.
“Kita berbincang mengenai keperluan mewujudkan satu sekretariat khas bagi memastikan pelaksanaan RCEP dapat dipantau dengan lebih rapi dan responsif terhadap cabaran ekonomi global,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Kemuncak Pemimpin RCEP di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.
RCEP yang mula berkuat kuasa pada Januari 2022, merangkumi negara-negara ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Ia melibatkan hampir 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan perdagangan dunia, menjadikannya platform penting dalam pemulihan dan pertumbuhan ekonomi pasca-pandemik.
Beliau berkata, majoriti negara anggota menyambut baik cadangan tersebut dan menunjukkan keterbukaan terhadap usaha memperkukuh kerangka institusi RCEP.
Jelasnya, Mesyuarat Pemimpin RCEP mencapai beberapa kesepakatan penting bagi memperkukuh kedudukan RCEP sebagai platform integrasi ekonomi serantau.
“Antara keputusan utama mesyuarat termasuk persetujuan sebulat suara daripada semua 15 negara anggota untuk mengadakan Sidang Kemuncak Pemimpin RCEP pada Oktober ini yang bakal menjadi pentas perbincangan isu-isu strategik membabitkan perdagangan, pelaburan dan masa depan ekonomi rantau Asia Pasifik.
“Semua negara bersetuju pemimpin perlu berjumpa bagi menyelaras hala tuju RCEP. Kita juga sedang merangka kenyataan bersama yang memberi penekanan kepada isu-isu ekonomi serantau,” katanya.
Beliau turut memaklumkan mesyuarat tersebut bersifat terbuka terhadap penyertaan negara baharu, sejajar dengan matlamat RCEP untuk menjadi blok ekonomi inklusif dan dinamik.
“Setakat ini, empat negara telah menyatakan minat rasmi untuk menyertai perjanjian tersebut, namun perincian identiti mereka masih dirahsiakan atas dasar diplomasi,” katanya.
Mesyuarat RCEP dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Muto Yoji.
Sebelum ini, dalam kenyataan bersama Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) telah mendesak supaya proses penyertaan bagi negara yang berminat dipercepatkan bagi mengukuhkan lagi blok perdagangan serantau itu.-UTUSAN