PETALING JAYA: Malaysia menyasarkan potensi jualan eksport bernilai RM230 juta menerusi penyertaan strategik di Ekspo China-ASEAN ke-22 (CAEXPO) yang bakal berlangsung dari 17 hingga 21 September ini di Nanning, China.
Usaha ini dipacu oleh Pertubuhan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melalui pelbagai program serentak bagi memaksimumkan kehadiran negara, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan China serta rantau ASEAN.
Delegasi Malaysia ke CAEXPO kali ini menghimpunkan lebih 70 organisasi, termasuk tiga kementerian, enam agensi kerajaan utama serta pelbagai pempamer dari industri yang berbeza.
Di bawah kepimpinan Matrade, Pavilion Malaysia akan menampilkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang melambangkan keupayaan bekalan negara secara menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutinya, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, Malaysia bukan sahaja terkenal dengan durian, kopi putih dan sarang burung walit yang digemari pasaran, malah kekuatan negara merangkumi sektor lain yang lebih luas.
“Tahun ini, kami berbangga untuk mengetengahkan pelbagai tawaran termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, bahan binaan, selain sektor bernilai tinggi seperti logistik dan penyelesaian pengedaran, teknologi serta kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, kepelbagaian tersebut mencerminkan kemampuan Malaysia yang semakin berkembang serta kesediaan memenuhi permintaan pasaran China dan ASEAN yang kian berubah.
“Matlamat kami adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai rakan dagang yang progresif, dipercayai dan berdaya saing di rantau ini,” tambahnya.
Bagi mengoptimumkan penyertaan kali ke-22 di CAEXPO, Matrade merancang siri program promosi berimpak tinggi, termasuk sesi padanan perniagaan, pameran produk dan peluang jaringan strategik.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan keterlihatan jenama Malaysia, mengukuhkan kerjasama bermakna dan seterusnya mempercepat pertumbuhan eksport ke China, yang merupakan antara rakan dagang terpenting negara.
Sebagai usaha memperkukuh hubungan perdagangan dua hala, Matrade dengan kerjasama China Construction Bank (CCB) dan Sekretariat Ekspo China-ASEAN akan menganjurkan Sesi Padanan Perniagaan B2B Malaysia-China 2025 pada 16 September di Nanning.
Acara itu dijangka menarik lebih 130 pertemuan perniagaan yang telah diatur antara pengeksport Malaysia dan pembeli China, sekali gus menjadi platform utama meneroka peluang baharu, menjalin kerjasama strategik dan memeterai perjanjian eksport.
Menandakan edisi fizikal sulungnya, sesi tersebut membuktikan komitmen Matrade memudahkan pertemuan secara bersemuka dan rundingan perniagaan secara masa nyata, sekali gus membuka tirai kepada penyertaan Malaysia yang lebih kukuh di CAEXPO tahun ini.
Bagi menyokong usaha penembusan pasaran, MATRADE turut mengatur lawatan tapak untuk syarikat Malaysia ke Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou (CMQIP) dan Bursa Dagangan China-ASEAN (CAMEX) bagi memberi pendedahan secara langsung mengenai ekosistem perniagaan di China serta mengenal pasti peluang kerjasama jangka panjang.
CAEXPO kekal sebagai antara platform perdagangan paling penting yang merapatkan ASEAN dan China, dan penyertaan Malaysia pada edisi ke-22 dijangka membuka peluang besar dalam perdagangan serta pelaburan. – UTUSAN










