Tinggalkan kerjaya jurutera, demi bakti kepada ibu strok - Utusan Malaysia

Tinggalkan kerjaya jurutera, demi bakti kepada ibu strok

AMNI Syafiqah Yahya menjaga ibunya yang terlantar akibat strok di Pusat Jagaan dan Aktiviti Warga Emas Terengganu, Laman Kasih Budi di Bukit Besar, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Demi kasih terhadap ibu, seorang graduan mengetepikan cita-cita menjadi jurutera demi memberi sepenuh perhatian menjaga insan tersayang yang terlantar akibat strok.

Amni Syafiqah Yahya, 27, yang juga anak tunggal berdepan ujian apabila ibunya, Khalijah Mahmood, 64, mengalami sawan sehingga menyebabkan saluran darah di otak pecah.

Katanya, sebelum ini dia bekerja selama enam bulan di Subang Jaya, Selangor selepas menamatkan pengajian kejuruteraan elektrik di Universiti Malaya (UM).

“Saya anak tunggal dan ayah pula meninggal dunia pada 2022. Jadi, tanggungjawab menjaga ibu terletak sepenuhnya di bahu saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Jagaan dan Aktiviti Warga Emas Terengganu, Laman Kasih Budi di Bukit Besar di sini.

Khalijah disahkan menghidap strok sejak 2023. Sebelum ditempatkan di pusat jagaan itu, dia menumpang di rumah saudara-mara.

Dia menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain sokongan keperluan seperti susu dan lampin pakai buang melalui Tabung Darul Iman yang diperbaharui setiap tiga bulan.

Amni Syafiqah berkata, dia mengetahui mengenai pusat jagaan itu menerusi laman sosial sebelum mendapatkan maklumat lanjut daripada JKM.

“Saya memohon bekerja di sini dan pada masa sama meminta izin untuk membawa ibu tinggal bersama di pusat jagaan ini. Gaji saya dipotong untuk menampung yuran bulanan ibu,” katanya.

Amni Syafiqah mengakui reda mengorbankan impian yang dibina selama empat tahun dan tidak pernah menyesali keputusan tersebut.

“Saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Ibu yang besarkan saya,dia pernah jadi guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan menjahit untuk tampung kehidupan kami.

“Sekarang giliran saya pula jaga dia. Saya akan terus bersama ibu sampai akhir hayatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN