Mukadimah
GLOBAL Turbine Asia (GTA) adalah contoh bagaimana Malaysia memanfaatkan bakat tempatan dan kolaborasi strategik antarabangsa untuk memajukan dirinya sebagai pusat aeroangkasa yang kompetitif.
Ini dengan fokus khusus kepada penyelenggaraan dan pembaikan enjin pesawat yang canggih.
Peranan strategik dan kepakaran GTA menyokong visi Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam industri aeroangkasa global menjelang 2030 serta mampu menyumbang kepada kemampanan pertahanan negara pada tahap yang lebih tinggi
Wartawan Utusan Malaysia, HENDRA WINARNO berpeluang menemu ramah Pengerusi Eksekutif Global Turbine Asia, DATUK NONEE ASHIRIN untuk berkongsi lebih lanjut berkenaan topik ini.
UTUSAN: Bagaimana Malaysia semakin berkembang sebagai hab aeroangkasa utama?
NONEE: GTA sebagai sebuah syarikat tempatan dengan kepakaran dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) merasakan ini adalah tanggungjawab yang perlu kami galas. Perseverance and resilience is the key, jika kami ingin menarik perhatian negara-negara lain untuk mengiktiraf Malaysia sebagai hab utama aeroangkasa global. Perjalanan yang perlu kami lalui mungkin masih jauh, namun ia tidak mustahil.
Sebagai pusat servis yang diiktiraf oleh Safran Helicopter Engines, GTA melaksanakan piawaian penyelenggaraan bertaraf global dalam bidang MRO bagi enjin pesawat yang kompleks dan berteknologi tinggi.
Bagaimana GTA menyumbang kepada membentuk naratif tentang peluang dalam pembuatan, MRO, penerbangan lestari dan pendigitalan?
GTA telah memeterai perjanjian dengan pengeluar peralatan asal (OEM), Europrop International (EPI) bagi mendapatkan perkhidmatan sokongan bagi enjin berdasarkan keperluan dan bekalan alat ganti bagi pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menyokong kesiapsiagaan operasi dan kebolehpercayaan pesawat A400M Malaysia.
GTA turut memainkan peranan strategik melalui kontrak dengan rakan industri antarabangsa seperti Safran Helicopter Engines untuk penyelenggaraan enjin Makila EC725.
Bagaimana usaha tersebut menyerlahkan kepakaran dan keupayaan Malaysia dalam industri ini?
Kerjasama GTA bersama TUDM serta OEM ini secara tidak langsung telah menyerlahkan kepakaran dan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang dalam kejuruteraan aeroangkasa, sekali gus menyumbang kepada keupayaan pertahanan kendiri negara dan pembangunan tenaga kerja teknikal.
Penggabungan kepakaran kejuruteraan bersama pihak-pihak berkepentingan ini dengan kepakaran yang GTA miliki, kami komited untuk menyokong keperluan operasi pertahanan serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global aeroangkasa.
Melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) GTA di platform global seperti LIMA 25, Farnborough Airshow, Singapore Airshow dan Paris Airshow membuktikan dedikasi kami dalam membina jaringan antarabangsa selain terus memperkukuh pemindahan teknologi, memperluas kerjasama strategik serta meningkatkan profil industri pertahanan Malaysia di persada dunia.
Adakah cabaran seperti daya tahan rantaian bekalan, tuntutan kelestarian dan persaingan peringkat global serta peranan GTA meningkatkan keupayaan Malaysia untuk masa depan industri serta strategi yang boleh dilaksanakan?
GTA akur dan sedar akan cabaran-cabaran yang kami perlu hadapi seperti daya tahan rantaian bekalan, tuntutan kelestarian dan persaingan peringkat global tersebut.
Oleh yang demikian, GTA mengambil sikap proaktif dengan menyesuaikan perkhidmatan kami bersama sokongan teknikal berkualiti tinggi yang diberikan pendedahan latihan di luar negara setanding dengan kepakaran pasaran global.
Selain itu, peranan GTA bukan sahaja memperkukuh ekosistem aeroangkasa Malaysia tetapi juga memberi peluang pembelajaran, pembangunan tenaga kerja dan inovasi teknologi yang berterusan, sejajar dengan Pelan Induk Aeroangkasa Malaysia 2030.
GTA turut meningkatkan kemahiran jurutera, pakar dan profesional melalui latihan berstruktur, pembangunan keupayaan serta pensijilan bertaraf global selaras dengan tuntutan industri aeroangkasa dan pertahanan negara.
Hasil kerjasama strategik dengan Safran Helicopter Engines, GTA ditubuhkan dengan keyakinan terhadap potensi Malaysia untuk menjadi hab penyelenggaraan mendalam di rantau Asia.
Bagaimana pembangunan bakat penting untuk memacu inovasi dan daya saing Malaysia serta rantau ini?
Latihan dan pembangunan kemahiran melalui inisiatif GTA membantu negara meningkatkan kemampuan pengeluaran teknologi tinggi dan MRO yang lestari, sekali gus menjamin kesinambungan kemajuan industri dengan tenaga kerja yang adaptif dan berdaya saing
Apakah kajian atau testimoni berkaitan inisiatif GTA atau kejayaan alumni bagi memberikan sentuhan ‘human-centred’?
Dengan memberi keutamaan kepada keperluan, kebajikan dan pengalaman tenaga kerja serta pelanggan, GTA berhasrat ingin membina persekitaran kerja yang inklusif dan progresif.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan latihan dan perkhidmatan, malah menyumbang kepada pertumbuhan mampan serta memperkukuh daya saing syarikat dalam industri aeroangkasa global.
Kebanyakan pesara anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berumur dalam lingkungan 30-an atau 40-an berdepan pengurangan pendapatan mendadak setelah mereka tamat tempoh perkhidmatan walaupun menerima pencen setiap bulan.
Bagi menyokong peralihan mereka ke alam pekerjaan awam, Malaysia memperkenalkan program berstruktur empat fasa merangkumi Pembangunan Peribadi, Asas Perniagaan, Pengkhususan Industri dan Integrasi Kerjaya.
Sejajar dengan usaha ini, GTA bekerjasama dengan pihak. berkepentingan utama iaitu Coalition of Defence Industry Malaysia [CDI(M)], Malaysia Aerospace Industry Association (MAIA), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Human Resource Development Corporation (HRD Corp) serta Persatuan Veteran Patriot Malaysia (MyWIRA) melalui Program Veteran Patriot
Ini bagi memperkukuh ekosistem peralihan veteran ATM melalui penjajaran kerjasama awam-swasta, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan dan membantu veteran beralih ke kerjaya dalam sektor awam serta industri. – UTUSAN










