Indian Motorcycle perkenal barisan terbaharu Scout 2025

Indian Motorcycle perkenal barisan terbaharu Scout 2025

LAI Wai Keat (kiri) bersama barisan pengurusan Indian Motorcycle Malaysia melihat model baharu Scout di Petaling Jaya. - UTUSAN/ZABRY MOHAMAD MADZLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indian Motorcycle Malaysia memperkenalkan barisan model terbaharunya, Scout 2025, sekali gus memperlihatkan komitmen jenama tersebut untuk menampilkan inovasi terkini kepada peminat motosikal kruiser di negara ini.

Dengan mengekalkan gaya serta DNA (asid deoksiribonukleik) reka bentuk Scout yang asli, model baharu ini dijelmakan semua dengan lima variasi pakej personaliti berbeza iaitu 101 Scout, Scout Classic, Super Scout, Scout Bobber dan Sport Scout.

Gabungan warisan serta inovasi Scout baharu ini menghidupkan semula legenda motosikal Indian untuk generasi masa kini.

Majlis pelancaran model-model tersebut disempurnakan oleh Pengurus Jenama Indian Motorcycle Malaysia, Lai Wai Keat di sini, semalam.

Scout 2025 didatangkan dengan enjin baharu Speed Plus V-Twin 60 darjah dengan penyejukan cecair berkapasiti 1,250 cc yang dibina untuk prestasi dan ketahanan. 

Enjin ini menghasilkan 105 kuasa kuda (hp) serta daya kilas 108 Newton meter (Nm) pada 6,300 putaran perminit (rpm). 

Model varian tertinggi 101 Scout pula dilengkapi versi enjin direka semula dengan kuasa 111 hp dan menghasilkan daya kilas 111 Nm bersama transmisi enam kelajuan yang memberikan tunggangan lancar, seimbang dan bertenaga. 

Harga-harga yang ditawarkan adalah dari RM103,900 hingga RM139,600.

Selain pengenalan casis dan enjin yang lebih berkuasa, pengalaman kendalian serta tunggangan turut ditingkatkan dengan kehadiran ciri keselamatan dan keselesaan moden.

Antaranya brek ABS (sistem brek antikelincir); lampu LED (diod pemancar cahaya); tiga mod tunggangan serta kawalan cengkaman iaitu Sport, Standard dan Rain; serta sistem penghidup tanpa kunci dan skrin LCD (paparan hablur cecair) 4-inci yang dilengkapi teknologi Ride Command. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN