Dominasi EV China beri cabaran, peluang besar kepada ekonomi Malaysia

Dominasi EV China beri cabaran, peluang besar kepada ekonomi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dominasi pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China di Malaysia memberi manfaat segera kepada pengguna, namun berpotensi mengekang pembangunan industri automotif tempatan dalam jangka panjang.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, jika pasaran tempatan kekal dikuasai syarikat luar, Malaysia berisiko menjadi pasaran pengguna semata-mata tanpa membina kapasiti industri sendiri.

“Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh mengehadkan pembangunan rantaian bekalan tempatan, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dan pemindahan teknologi. 

“Walaupun dominasi China boleh mempercepatkan adopsi EV dengan harga kompetitif, ia juga meningkatkan ketergantungan kepada import komponen dan teknologi luar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, penguasaan China membawa manfaat jangka pendek seperti harga mampu milik, akses kepada teknologi terkini dan pengembangan ekosistem EV lebih pantas, namun risiko ‘crowding out’ syarikat tempatan tidak boleh dipandang ringan.

“Tanpa dasar seimbang, aspirasi Malaysia untuk menjadi hab serantau pembuatan atau R&D EV boleh terjejas,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, dominasi China memberi lebih banyak impak positif sekiranya diurus dengan baik melalui dasar kerajaan.

Katanya, antara kesan jangka panjang yang boleh dicapai ialah peningkatan peluang pekerjaan, pertumbuhan nilai dagangan dengan China serta kemasukan teknologi baharu yang menjadikan Malaysia berpotensi muncul sebagai hab utama EV di Asia Tenggara.

“Rakyat juga akan menikmati lebih banyak pilihan kenderaan baharu yang mampu milik dan menjimatkan belanja. Selain itu, pertumbuhan rantaian ekonomi domestik akan dirangsang melalui peningkatan kuasa membeli,” jelasnya.

Namun beliau mengingatkan, risiko wujud sekiranya syarikat China tidak mematuhi dasar sedia ada, seperti hanya menggunakan komponen buatan China atau mengehadkan jawatan pengurusan tertinggi kepada warga mereka sahaja.

“Jika berlaku, ia boleh membebankan negara kecil seperti Malaysia. Maka kawalan dasar perlu tegas bagi memastikan manfaat ekonomi dikongsi bersama,” katanya.

Mengulas aspek infrastruktur, kedua-dua pakar menegaskan stesen pengecasan perlu dipertingkat seiring pertumbuhan pesat EV di negara ini.

Mohd.Faisol berkata, walaupun jumlah stesen pengecasan awam semakin meningkat melalui inisiatif kerajaan dan kerjasama swasta, kadar pertumbuhannya masih belum seimbang dengan peningkatan jumlah kenderaan EV di jalan raya.

Malaysia masih berada pada tahap pembangunan awal untuk menyokong pertumbuhan pesat penggunaan EV. 

“Walaupun jumlah stesen pengecasan awam semakin meningkat melalui inisiatif kerajaan dan kerjasama swasta, kadar pertumbuhannya masih belum seimbang dengan peningkatan jumlah kenderaan EV di jalan raya. 

“Kekurangan stesen pengecasan, terutamanya di kawasan luar bandar dan lebuh raya utama, boleh mengekang keyakinan pengguna dan melambatkan kadar peralihan kepada EV. 

Untuk menyokong pertumbuhan mapan, pelaburan besar-besaran dalam rangkaian pengecasan pantas, standardisasi teknologi pengecasan, dan insentif fiskal kepada pembekal infrastruktur perlu dipercepatkan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN