PETALING JAYA: BDB Energy Sdn. Bhd. (BDB Energy), syarikat tenaga boleh diperbaharui dimiliki sepenuhnya oleh Bina Darulaman Berhad (BDB) bersama Kester Sdn. Bhd. (Kester) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalinkan usahama bersama kerajaan negeri Kedah.
Pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui itu meliputi pembangunan Solar berbumbung di bawah Program CREAM serta pembangunan Ladang solar di negeri Kedah.
Pengarah BDB Energy, Mohd. Hudzaifah Mohd Sam berkata, kerjasama di antara BDB Energy dan Kester Sdn. Bhd. yang juga merupakan anak syarikat milik penuh Invest Kedah Berhad itu bakal membuka peluang baharu bagi syarikat berkenaan untuk merealisasikan komitmen dalam mempromosikan sumber tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan jejak karbon di negeri Kedah.
Menurut beliau, kerjasama strategik tersebut diperkukuhkan lagi apabila Kester Sdn. Bhd. telah mendapat mandat daripada Majlis Mesyuarat kerajaan negeri Kedah untuk bertindak sebagai Pusat Setempat bagi pelaburan tenaga boleh diperbaharui di negeri berkenaan.
“Sehubungan itu, kerjasama di antara BDB Energy dan juga Kester Sdn. Bhd. ini akan membuka peluang untuk meneroka projek tenaga boleh diperbaharui lain pada masa hadapan, termasuk hidrokarbon dan unsur nadir bumi.
“Di samping itu juga, kerjasama ini turut menunjukkan komitmen kukuh kedua-dua pihak untuk memanfaatkan tenaga solar sekaligus selari dengan pelan pembangunan ‘The Greater Kedah’ yang memberi penekanan kepada ekonomi hijau dengan memfokuskan kepada kelestarian alam, mempromosikan penggunaan RE serta mengurangkan kesan kepada alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Hudzaifah berkata, kerjasama di dalam pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui meliputi pembangunan Solar berbumbung di bawah Program CREAM serta pembangunan Ladang solar di negeri Kedah itu dijangka dapat memperkukuh lagi ekosistem tenaga hijau di negeri itu samping menyumbang secara langsung kepada agenda kelestarian negeri dan negara.
“Dalam masa yang sama, projek tenaga boleh diperbaharui ini bukansahajamenyokong agenda negeri, malah seiring dengan Pelan Hala Tuju PeralihanTenagaNegara (NETR) yang menetapkan sasaran tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40 peratus menjelang 2035 dan seterusnya 70 peratus menjelang 2050.
“Oleh itu, BDB melalui BDB Energy komited untuk memainkan peranan utama dalam mempercepatkan pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui di Kedah. Ini sekaligus menyumbang kepada kelestarian negeri serta mendukung aspirasi Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan,” katanya. -UTUSAN