redBus dan masa depan mobiliti digital di Malaysia

redBus dan masa depan mobiliti digital di Malaysia

PRAKASH SANGAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH 

Sejak penubuhannya, redBus telah muncul sebagai antara platform tempahan tiket bas paling dikenali di Asia, dengan kehadiran kukuh di pasaran Malaysia sejak sedekad lalu. 

redBus yang beroperasi sejak 2015 bukan sahaja mengubah cara rakyat Malaysia merancang perjalanan darat, malah turut memperluaskan peranannya dalam ekosistem pelancongan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif redBus, PRAKASH SANGAM dalam temubual melalui emel bersama Utusan Malaysia berkongsi pandangan tentang pertumbuhan pesat syarikat itu di Malaysia, potensi rantau Asia Tenggara dan bagaimana inovasi seperti redBus Food Map membentuk masa depan perjalanan yang lebih bermakna dan mudah diakses.

UTUSAN: Bagaimana redBus telah berkembang dan mengukuhkan kehadiran di Malaysia sejak mula memasuki pasaran?

PRAKASH: redBus telah menjadi sebahagian daripada landskap perjalanan di Malaysia selama 10 tahun, sejak memasuki pasaran pada tahun 2015. Sepanjang dekad ini, kami telah membina kerjasama kukuh dengan lebih daripada 200 pengendali bas dan kini menawarkan lebih daripada 6,000 laluan di seluruh negara. Perkembangan kami mencerminkan skala rangkaian kami dan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian untuk perjalanan digital yang mudah.

Hari ini, redBus memegang 37 peratus bahagian pasaran tempahan bas di Malaysia. Aplikasi kami telah mendapat penarafan tertinggi dalam kategorinya, dengan 4.8 bintang dan kami mengendalikan platform penetapan harga dinamik yang paling canggih. Ia direka untuk memberikan nilai yang lebih baik kepada para pengembara dan rakan pengendali bas kami. Jika dibandingkan dengan tempoh sebelum pandemik Covid-19 (Tahun Kewangan 2020), redBus telah mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 3.7 kali ganda.

Kami juga telah berkembang melebihi pengangkutan bas. Kami melancarkan perkhidmatan tempahan feri pada tahun 2021.

 

Dari sudut pandang serantau, di mana kedudukan Malaysia dari segi potensi pertumbuhan berbanding pasaran lain di Asia Tenggara?

Malaysia merupakan pasaran dengan hasil kasar tertinggi bagi redBus dari segi tempahan kasar dan pendapatan di Asia Tenggara. Sehingga kini, kami telah berkhidmat kepada 3.5 juta pelanggan di sini, kira-kira 10 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Beberapa faktor menyumbang kepada potensi kukuh Malaysia untuk redBus; antaranya ialah populasi yang celik digital dan mengutamakan peranti mudah alih, aliran pelancongan yang tinggi, serta rangkaian perkhidmatan bas antara bandar dan rentas sempadan yang menyeluruh.

Tahap penggunaan digital yang tinggi dalam pasaran ini telah menjadi pemacu utama untuk perkembangan kami.

Malaysia juga memainkan peranan penting dalam strategi perkembangan serantau kami. Dengan rangkaian laluan yang padat, perkhidmatan kerap, dan ketersambungan yang kukuh ke negara jiran, Malaysia berfungsi sebagai hab utama bagi redBus di Asia Tenggara.

Kekerapan perjalanan domestik yang tinggi, digabungkan dengan jumlah laluan rentas sempadan yang banyak ke destinasi seperti Singapura dan Thailand, meletakkan Malaysia sebagai pangkalan penting untuk mengembangkan penglibatan kami dalam inovasi mobiliti dan pelancongan di seluruh rantau ASEAN.

 

Bagaimana redBus menyesuaikan platform dan pendekatan untuk lebih memenuhi keperluan pengembara Malaysia?

Kami menyesuaikan platform dan pendekatan interaksi kami agar selari dengan keutamaan serta keunikan budaya pengembara di Malaysia. Ini bermula dengan pilihan bahasa tempatan dan integrasi kaedah pembayaran pilihan seperti e-dompet, bagi memastikan pengalaman tempahan yang lancar dan mudah.

Kempen kami juga berpusat pada tempoh perjalanan tempatan yang penuh makna termasuk musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Deepavali, apabila fenomena ‘balik kampung’ mendorong lonjakan dalam perjalanan. Kami turut menjalankan kempen yang relevan secara budaya seperti ‘Chup Tempat dengan redBus’, satu ungkapan santai yang merujuk kepada budaya tempatan menempah tempat, yang mendapat sambutan hangat daripada rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, kami bekerjasama dengan pencipta kandungan tempatan serta memanfaatkan cadangan berasaskan komuniti bagi memastikan mesej kami kekal autentik. Inisiatif seperti redBus Food Map meraikan kekayaan budaya kulinari Malaysia, membolehkan kami berhubung dengan pengembara di luar konteks tempahan.

 

Apa peranan redBus dalam menyokong pelancongan domestik dan pelancongan masuk, khususnya menjelang Visit Malaysia 2026?

Melalui inisiatif seperti redBus Food Map dan penawaran Things to Do yang terus berkembang, kami turut menghubungkan perjalanan dengan pengalaman budaya, salah satu teras utama daya tarikan pelancongan Malaysia.

Dengan Malaysia membuat persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM110 juta bagi mempromosikan kekayaan budaya dan pelancongan eko negara.

Kami melihat keselarasan yang kukuh antara tumpuan nasional ini dan usaha kami untuk mengalakkan pengalaman perjalanan tempatan yang asli.

Dengan menggabungkan akses pengangkutan yang lancar dan panduan berasaskan budaya tempatan, matlamat kami adalah untuk menjadikan pelancongan budaya lebih mudah diakses dan bermakna bagi para pelawat.

Rangkaian luas rakan pengendali bas dan feri kami yang diperkukuh dengan panduan berasaskan data, membolehkan kami mempertingkatkan ketersambungan merentasi laluan pelancongan yang popular dan yang sedang meningkat.

Melalui kerjasama rapat dengan pengendali, kami menyesuaikan perkhidmatan mengikut tumpuan pelancongan utama, mengoptimumkan ketersediaan laluan dan menawarkan jadual perjalanan yang fleksibel untuk mempertingkatkan pengalaman pelawat.

 

Boleh ceritakan tentang redBus Food Map dan mengapa Malaysia dipilih untuk kempen berinspirasikan budaya ini?

redBus Malaysia Food Map dicipta untuk memberi tumpuan kepada satu daripada minat paling mendalam rakyat Malaysia — makanan. Malaysia menawarkan gabungan sempurna antara perjalanan, budaya dan kepelbagaian kulinari iaitu elemen-elemen di mana redBus ingin membina hubungan yang lebih mendalam dan bermakna.

Dengan pelancongan makanan yang semakin mendapat perhatian, perbelanjaan pelancong di Malaysia meningkat sebanyak 43 peratus pada 2024 berbanding 2023. Makanan dan minuman muncul sebagai satu daripada tiga kategori perbelanjaan tertinggi, dengan pertumbuhan sebanyak 52 peratus.

Food Map ini direka untuk menyerlahkan kekayaan warisan kulinari negara. Dengan menampilkan lebih daripada 40 hidangan yang wajib dicuba dan lebih 160 lokasi makan di seluruh negara, ia membantu penduduk tempatan dan pelancong menemui cita rasa ikonik daripada makanan jalanan kegemaran ramai hinggalah lokasi tersembunyi di bandar-bandar kecil.

Apa yang membezakan inisiatif ini adalah pendekatan berasaskan komuniti. Kami mengalu-alukan perkongsian daripada pengembara harian dan penduduk tempatan, bagi membentuk koleksi cadangan bersama yang mencerminkan cita rasa asli dan autentik rakyat Malaysia, bukan sekadar senarai editorial dari atas ke bawah. Ia menghimpunkan semua penemuan ini dalam satu platform, memudahkan pengguna meneroka kekayaan budaya makanan Malaysia di mana sahaja mereka berada.

 

Apa makna pelancaran redBus Food Map untuk jenama dan perniagaan redBus di Malaysia?

Pelancaran redBus Food Map merupakan satu langkah strategik bagi kami di Malaysia. Ia mengukuhkan hubungan kami dengan pengembara dengan memberi mereka sebab untuk berinteraksi dengan redBus melebihi sekadar untuk tempahan tiket. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh keterkaitan jenama kami dalam keputusan perjalanan harian pengguna. Sebagai contoh, kami melihat bahawa 30 peratus akaun media sosial mengikuti kandungan berkaitan makanan atau chef.

Dari sudut penjenamaan, inisiatif ini membantu meletakkan redBus sebagai satu platform gaya hidup dan penemuan, sekali gus memperluas peranan kami dalam ekosistem pelancongan. Dari sudut perniagaan, ia membuka peluang baharu untuk berhubung dengan pengguna, mewujudkan lebih banyak titik sentuhan serta memanjangkan penglibatan pengguna melalui kandungan dan pengalaman yang dipilih susun.

 

Apakah fokus dan keutamaan redBus seterusnya di Malaysia dari segi pertumbuhan dan impak?

Satu daripada keutamaan kami di Malaysia adalah untuk menjadi platform pengangkutan darat pilihan dengan menawarkan penyelesaian perjalanan hujung ke hujung yang lancar di seluruh negara. Pada tahun 2025, fokus kami adalah untuk mengukuhkan kehadiran kami di seluruh negara, bagi memastikan para pengembara dapat mengakses pilihan pengangkutan yang boleh dipercayai dengan mudah, di mana sahaja mereka berada.

Kami merancang untuk memperkukuh kehadiran kami di Sabah, Sarawak dan kawasan Utara Malaysia, sambil berkembang ke bandar-bandar tahap 2 dan tahap 3 bagi memastikan capaian menyeluruh. Kami juga sedang memperluas kategori baharu seperti ‘Things to Do’ dan perkhidmatan feri, yang menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan. Kami teruja untuk memperkukuh kehadiran kami terutamanya di laluan ke destinasi popular seperti Batam, Koh Lipe dan Langkawi, semua sebahagian daripada usaha kami untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dan kemudahan perjalanan untuk pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×