PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025 dilihat berkembang dengan positif sejajar dengan jangkaan awal walaupun sedikit perlahan, sekali gus mencerminkan ketahanan ekonomi negara di tengah cabaran global.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi positif itu dicapai walaupun ekonomi dunia terkesan susulan langkah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump mengenakan tarif import, susulan pengumuman pada April lalu.
“Walaupun AS menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari untuk berunding dengan rakan dagang, Malaysia dan kebanyakan negara tetap dikenakan tarif sebanyak 10 peratus, manakala China berdepan kadar lebih tinggi iaitu 30 peratus.
“Keadaan ini menyebabkan pelanggan di AS meningkatkan pembelian pada April dan Mei bagi mengelak bayaran tarif baharu yang bermula pada kadar 19 peratus pada 7 Ogos lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, kerajaan perlu terus memperkukuh ekonomi domestik bagi mengekalkan momentum sebagai penyumbang utama pertumbuhan KDNK 2025.
“Dasar fiskal mengembang wajar diteruskan menerusi Belanjawan 2026, manakala dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) perlu kekal selari dengan dasar fiskal kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, bagaimanapun kebimbangan kini tertumpu kepada trend pada separuh kedua 2025 memandangkan tarif import yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) mula berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu.
“Keadaan ini dijangka memberi kesan kepada momentum pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya apabila pertumbuhan ekonomi global dijangka lebih perlahan.
“Pihak kami masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara 2025 pada paras 4.1 peratus.
“Ini bermakna pada separuh kedua nanti, pertumbuhan ekonomi negara dijangka bergerak di bawah paras 4.0 peratus iaitu sekitar 3.7 hingga 3.8 peratus,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, BNM juga telah melaksanakan dasar monetari yang lebih proaktif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat diurus dengan lebih baik.
“Pada 9 Julai lalu, pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas dan pengurangan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas pada Mei, dimana RM19 bilion telah disuntik dalam ekonomi negara turut dijangka membantu menstabilkan pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua 2025.
“Selain itu, baru-baru ini Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), program jualan Rahmah dan lain-lain inisiatif.
“Semua ini akan membantu merancakkan ekonomi domestik. Dasar yang bersifat akomodatif berasaskan dasar fiskal yang sentiasa mengembang dijangka mengukuhkan lagi momentum pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, risiko pertumbuhan ekonomi masih banyak dipengaruhi oleh faktor luaran, terutamanya yang berkait rapat dengan situasi tarif, geopolitik, kos perniagaan, ketidaktentuan pasaran kewangan dan juga pasaran komoditi.- UTUSAN