TEMERLOH: Golongan guru dan pentadbir sekolah wajar diberi keyakinan dan perlindungan sewajarnya supaya tindakan mereka dalam mendidik serta membimbing murid tidak disalah tafsir.
Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohamad Zapawi Mamat berkata, ia penting kerana sekolah sepatutnya menjadi pusat pembentukan karakter, bukan tempat menyorok masalah.
Katanya, pendekatan terbuka dan bertanggungjawab itu sangat penting bagi memulihkan keyakinan masyarakat terhadap integriti sekolah sebagai institusi pembentuk sahsiah murid.
“Disiplin pelajar perlu ditangani dengan tegas tetapi adil agar nilai moral dan etika kekal menjadi tunjang sistem pendidikan negara. Pengetua dan guru besar juga tertakluk kepada peraturan serta garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Setiap kes salah laku pelajar hendaklah dilaporkan mengikut prosedur yang betul supaya tindakan yang adil dan telus dapat diambil,” katanya mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan supaya pengetua dan guru besar tidak menyembunyikan kes salah laku pelajar, sebaliknya bertindak secara telus, profesional dan berhemah.
Mohamad Zapawi berkata, masalah disiplin bukan tanggungjawab sekolah semata-mata tetapi melibatkan ibu bapa dan masyarakat.
Katanya, kerjasama semua pihak sangat penting dalam membentuk sahsiah pelajar yang baik dan mengelakkan wujudnya budaya menyalahkan satu pihak semata-mata apabila berlaku salah laku pelajar. – UTUSAN










