Muhaimin rangkul Anugerah Canselor UniSIRAJ

Muhaimin rangkul Anugerah Canselor UniSIRAJ

MUHAIMIN Abdul Hamit menunjukkan anugerah yang diterima kepada ahli keluarganya bersempena Konvokesyen UniSIRAJ Ke-8 di Dewan 2020, Kangar, Perlis, semalam. – MINGGUAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kesempitan hidup bukan penghalang buat Muhaimin Abdul Hamit, 23, berjaya dalam pendidikan sekali gus menjadi pemangkin untuk anak muda itu mengubah nasib keluarga.

Anak ketiga daripada lima beradik ini juga menerima Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) 2025 sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) Ke-8 di Dewan 2020, di sini, semalam.

Anugerah tersebut atas pencapaian dan prestasi akademiknya termasuk penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum. Dengani penganugerahan itu, Muhaimin membawa pulang sijil, wang tunai RM3,000 dan tajaan menunaikan umrah bulan depan.

Sepanjang tempoh pengajian, anak jati Pasir Mas Kelantan itu turut menerima Anugerah Dekan pada setiap semester dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84 bagi program Ijazah Sarjana Muda Bahasa al-Quran dan Sunnah.

Selain itu, Muhaimin juga mempunyai rekod cemerlang dalam penglibatan aktiviti kokurikulum dengan penyertaan pelbagai program, malah pernah memegang jawatan seperti Ketua Exco Pendidikan Persatuan Mahasiswa al-Quran dan Sunnah.

Muhaimin berkata, dia memang berasal daripada keluarga sederhana memandangkan ayahnya, Abdul Hamit Draman, 63, adalah peniaga gerai makan di kampung dan ibunya, Rosenahar Jaafar, 57, pula hanya suri rumah.

Katanya, mereka sekeluarga juga pernah diuji apabila rumah didiami tidak sesempurna kediaman lain dengan tingkap hanya ditutup plastik berikutan ibu bapanya perlu menyelesaikan kekangan hutang terlebih dahulu.

“Dengan kesempitan hidup dihadapi itu, saya sememangnya nekad terus maju ke hadapan khususnya dalam pelajaran bagi membantu meringankan beban keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN