WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah khas bagi menurunkan tarif terhadap beberapa barangan import pertanian termasuk daging lembu, pisang, kopi dan tomato, dalam usaha meredakan tekanan rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Perintah itu mengecualikan produk terbabit daripada tarif timbal balas yang diperkenalkan awal tahun ini bagi menangani amalan perdagangan yang dianggap tidak adil, selepas pentadbiran
Trump menilai kemampuan domestik AS menghasilkan barangan berkenaan.
Menurut Rumah Putih, pengecualian yang berkuat kuasa bermula 13 November itu diambil ketika pentadbiran Trump bergelut mempertahankan sentimen ekonomi, selepas isu kemampuan hidup menjadi tumpuan dalam pilihan raya tempatan yang menyaksikan kemenangan besar Parti Demokrat.
Turut tersenarai dalam pengecualian tarif itu ialah produk seperti avokado, kelapa dan nanas.
Sejak kembali menerajui Rumah Putih pada Januari, Trump melaksanakan tarif besar-besaran terhadap negara rakan dagang, sehingga mencetuskan kebimbangan pakar ekonomi mengenai tindakan tersebut boleh meningkatkan inflasi dan menjejaskan pertumbuhan.
Walaupun tiada lonjakan ketara dalam kadar inflasi keseluruhan, beberapa barangan menunjukkan peningkatan harga akibat tarif dikenakan, selain jangkaan bahawa kesannya akan terus dirasai dalam ekonomi terbesar dunia itu.
Harga daging lembu juga mencatat kenaikan disebabkan bekalan lembu yang semakin berkurangan.
Pentadbiran Trump turut mengakui keresahan rakyat terhadap penyusutan kuasa beli sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penasihat Ekonomi Rumah Putih, Kevin Hassett, menegaskan komitmen kerajaan untuk menangani isu tersebut dengan segera.
“Itu sesuatu yang akan kami perbetulkan, dan kami akan perbetulkannya segera,” katanya ketika mengulas cabaran ekonomi semasa yang membelenggu rakyat Amerika.










