Universiti rombak kursus agar relevan pasaran, kehendak industri

Universiti rombak kursus agar relevan pasaran, kehendak industri

UNIVERSITI membuat kajian dan semakan secara berkala bagi memastikan kursus ditawarkan relevan dengan kehendak industri. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti awam rombak semula struktur program pengajian bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja dan kehendak industri, berbanding menggugurkan kursus sedia ada.

Langkah penambahbaikan itu dilakukan secara berterusan bagi memastikan setiap program memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan bidang pengajian lain di institusi pe­ngajian tinggi awam (IPTA).

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, semua program Sarjana Muda dan pascasiswazah melalui proses semakan kurikulum secara berkala.

“Program yang dilihat kurang popular dalam kalangan pelajar sebenarnya mendapat permintaan tinggi dalam industri, khususnya bidang sains gunaan.

“Kesedaran terhadap prospek bidang ini masih rendah, namun keperluan industri sa­ngat besar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurutnya, hasil semakan mendapati hanya sebahagian kecil program memerlukan penambahbaikan atau penstrukturan semula. Tiada program perlu digugurkan sepenuhnya.

Jelas beliau, pendekatan ini melibatkan penggabungan, pindaan atau penambahan nilai supaya kandungan dan hasil pembelajaran selari perkemba­ngan teknologi serta permintaan pasaran kerja.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Ts. Dr. Zulkefli Mansor berkata, dasar semakan kurikulum bukan perkara baharu dan universiti diberi autonomi mencadangkan pindaan serta pelupusan kursus.

“Setiap program melalui semakan kurikulum untuk memastikan silibus berdaya saing dan memenuhi permintaan industri serta keperluan badan profesional,” katanya.

Menurut Zulkefli, penstrukturan kurikulum tidak menjejaskan pensyarah kerana tidak semua kursus terlibat. Kandungan yang tidak relevan akan dipinda atau dibangunkan semula.

Katanya, proses ­gu­gur atau penstruktu­ran me­merlukan kajian pasaran, pan­dangan alumni, penasihat pro­gram, penilai luar dan pihak industri.

Naib Canselor Universiti Tek­nologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim pula berkata, setakat ini UTM menawarkan sebanyak 56 program prasiswazah di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan 244 program pascasiswazah.

“Semua program akademik di UTM adalah relevan kerana kami melaksanakan semakan kurikulum setiap tiga hingga lima tahun bagi memastikan kesesuaian program dengan ke­perluan pasaran semasa dan hala tuju universiti.

“Proses ini melibatkan Lembaga Penasihat Industri bagi setiap program yang terdiri daripada wakil industri, alumni, serta badan profesional,” katanya.

Beliau berkata, menerusi proses semakan kurikulum, beberapa perkara telah dilaksanakan seperti mengemaskini kandungan kursus supaya lebih sejajar dengan teknologi baharu dan permintaan industri.

Selain itu, semakan tersebut turut memberikan nama baharu bagi program dan kursus akademik bagi memberikan perspektif segar dan selari dengan ke­perluan industri dan negara.

“UTM mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan (GE) sebanyak 100 peratus selama tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024 membuktikan bahawa penstrukturan semula program berjalan seiring dengan kehendak pasaran kerja,” katanya.

Dalam pada itu, Universiti Tek­nologi Mara (UiTM) turut menjalankan semakan berterusan terhadap program pengajian bagi memastikan ia kekal relevan de­ngan keperluan pasaran kerja dan selari perkembangan industri.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib Sa­hi­buddin, pendekatan itu dilaksa­na­ melalui proses semakan ku­rikulum berkala. Pada 2024, UiTM catat kadar kebo­lehpasaran graduan 92.1 peratus.

“Kami memastikan struktur program kekal relevan, efisien dan berdaya saing. Semua proses melalui kelulusan Senat dan berpandukan garis panduan KPT, MQA serta badan profesional,” katanya.

Beliau menafikan dak­waan autonomi meng­gugurkan kursus boleh me­nyebabkan universiti mengorban­kan ilmu teras demi mengejar program berorientasikan pasaran.

“Bidang ilmu asas tetap dipertahan sebagai tunjang akademik, namun diperkukuh dengan elemen pasaran supaya graduan kami memiliki asas kukuh dan kemahiran semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN