KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus memperkukuh kepakaran tempatan dan keupayaan inovasi dalam bidang ekonomi monetari serta kewangan, khususnya dalam persekitaran global yang dinamik dan sentiasa berubah.
Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, dunia kini berdepan pelbagai perkembangan yang mengganggu kestabilan termasuk krisis iklim, peperangan besar dan pandemik yang memberi kesan ekonomi ketara.
Menurutnya, perubahan dasar utama di ekonomi maju serta kemajuan pesat teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) turut membawa cabaran baharu yang perlu ditangani.
“Oleh itu, menjadi lebih penting untuk membina daya tahan serta mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan sekiranya mahu mencapai kemakmuran bersama,” katanya pada majlis pelancaran Tun Ismail Ali Center of Excellence (TIACOE) oleh Asia School of Business (ASB) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Zeti yang juga Pengerusi Pengasas dan Pengerusi Bersama Lembaga Gabenor ASB berkata, TIACOE berperanan memajukan penyelidikan dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan serta memperkukuh keupayaan institusi pengajian tinggi tempatan.
TIACOE disasarkan mencapai tiga matlamat utama iaitu memajukan penyelidikan dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan, meningkatkan kapasiti institusi pengajian tinggi tempatan serta memperluas jangkauan melalui penglibatan lebih erat bersama ahli akademik tempatan, industri swasta, pelajar dan orang awam.
Dinamakan sempena Gabenor pertama BNM, Tun Ismail Mohamed Ali dan tokoh penting dalam sejarah kewangan negara, TIACOE dibiayai oleh BNM dan beroperasi di ASB.
Sebelum pelancaran rasminya, pusat itu juga telah memulakan asas pembangunan melalui pelbagai inisiatif termasuk seminar penyelidikan yang menampilkan penceramah antarabangsa terkemuka.
Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pemecahan geoekonomi, perubahan iklim dan pendigitalan kewangan yang pesat semakin membentuk landskap ekonomi global dengan implikasi besar terhadap sistem kewangan dan monetari antarabangsa.
“Jika tidak bersedia, bank pusat berisiko berdepan kejutan daripada risiko baharu yang boleh mencabar sistem dan kerangka sedia ada,” katanya dalam ucapan. – UTUSAN











