PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) dijangka mendapat sedikit sokongan jangka pendek daripada harga urea yang stabil berikutan permintaan kukuh dari India serta ketersediaan bekalan global yang terhad, kata TA Research.
Walau bagaimanapun, firma berkata, lebihan bekalan berterusan dalam pasaran polietilena (PE) dan monoetilena glikol (MEG), ditambah permintaan hiliran yang lembap, dijangka terus menekan margin kumpulan itu.
“Pada separuh pertama tahun kewangan 2025, PCG hanya mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM45 juta, jauh lebih rendah berbanding jangkaan, sekadar 10 peratus daripada unjuran kami dan 14 peratus daripada anggaran konsensus.
“Angka ini mengecualikan kerugian tukaran asing berjumlah RM446 juta serta kerugian rosot nilai RM431 juta ke atas aset tetap Perstorp,” katanya dalam nota penyelidikan.
TA Research berkata, segmen olefin & derivatif (O&D) terus menjadi penyumbang negatif utama, dengan hasil merosot 15.9 peratus suku ke suku akibat harga purata jualan (ASP) yang rendah serta kadar penggunaan loji yang menurun kepada 85.6 peratus.
Jelasnya, ini berpunca daripada aktiviti penyelenggaraan dan pembaikan loji yang lebih kerap.
“Akibatnya, kerugian pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) segmen tersebut meningkat kepada RM251 juta daripada RM43 juta pada suku sebelumnya.
“Segmen baja & metanol (F&M) turut mencatatkan penurunan, dengan hasil susut 9.4 peratus suku ke suku berikutan penurunan ASP dan kadar penggunaan loji yang jatuh kepada 72.8 peratus susulan gangguan bekalan bahan mentah di PC Fertiliser Kedah dan penutupan terancang di PC Methanol dan ABF.
“Sebaliknya, segmen Specialties menjadi titik positif apabila EBITDA melonjak kepada RM153 juta daripada RM52 juta pada suku sebelumnya. Peningkatan ini didorong oleh margin sumbangan yang lebih tinggi serta jualan hak pelepasan emisi,” ujarnya.
Melihat ke hadapan, TA Research menjangka harga urea akan kekal kukuh dalam masa terdekat, sekali gus memberikan sedikit perlindungan kepada segmen F&M.
“Namun, prospek keseluruhan kekal mencabar dengan lebihan bekalan dalam pasaran PE dan MEG global serta permintaan hiliran yang masih lemah.
“Sektor automotif dijangka berhati-hati akibat kadar faedah tinggi dan lambakan inventori, manakala permintaan barangan pengguna kekal stabil walaupun risiko tarif dan ketidaktentuan perdagangan global terus membayangi,” jelasnya.
TA Research menyemak turun unjuran keuntungan PCG bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 antara 35 peratus hingga 42 peratus.
“Kami menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM3.51 sesaham daripada RM4.11 sesaham sebelum ini, dengan saranan pelaburan daripada kepada ‘jual’ daripada ‘pegang’,” jelasnya. – UTUSAN










