PETALING JAYA: Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran sempit antara 1,545 hingga 1,555 mata pada minggu ini, dipengaruhi oleh sentimen pasaran global yang berhati-hati serta ketidaktentuan dasar monetari Amerika Syarikat (AS).
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ketidakpastian terhadap prestasi ekonomi AS dan hala tuju dasar Rizab Persekutuan turut menambah tekanan ke atas sentimen pelabur.
Katanya, ini berikutan perbezaan pandangan dalam kalangan ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), di mana sebahagian daripada mereka masih berpendirian kadar faedah wajar dikekalkan.
“Ini disokong oleh kebimbangan terhadap potensi kenaikan kadar inflasi yang didorong oleh pelaksanaan tarif baharu.
“Oleh itu, sebarang isyarat daripada pihak Rizab Persekutuan dijangka memberi kesan negatif terhadap pasaran ekuiti global, termasuk Bursa Malaysia.
“Dalam persekitaran ketidaktentuan ini, pelabur dijangka kekal berhati-hati dengan tumpuan tertumpu kepada data ekonomi utama dan perkembangan dasar monetari luar negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mohd. Afzanizam berkata, peserta pasaran saham global kini berada dalam keadaan berhati-hati berikutan kebimbangan terhadap tahap penilaian saham-saham di AS yang telah mencatatkan kenaikan mendadak sejak April lalu.
Jelas beliau, kenaikan berterusan ini menimbulkan persoalan sama ada lonjakan tersebut disokong oleh asas ekonomi yang kukuh atau sekadar didorong oleh jangkaan pelonggaran dasar monetari.
“Di samping itu, isu tarif baharu yang diperkenalkan dijangka memberi tekanan tambahan terhadap ekonomi AS.
“Tarif tersebut bukan sahaja berpotensi menaikkan kos operasi syarikat, malah dijangka menyebabkan kelembapan permintaan pengguna apabila kos tersebut dipindahkan kepada pembeli akhir.
“Hal Ini sekali gus menimbulkan keraguan terhadap prospek pertumbuhan keuntungan korporat, terutamanya bagi syarikat-syarikat yang tersenarai di bursa AS untuk tempoh suku ketiga dan keempat tahun ini,” katanya.
Melihat kepada risiko-risiko ini, Mohd. Afzanizam menjangkakan aktiviti pengambilan keuntungan mungkin akan berlaku dalam masa terdekat.
“Langkah ini dijangka diambil oleh para pedagang yang ingin merealisasikan keuntungan yang telah dikumpulkan sejak beberapa bulan lalu, sebelum potensi pembetulan pasaran berlaku.
“Dengan ketidaktentuan luaran yang masih ketara, pelabur dijangka terus berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan, sementara pasaran menantikan petunjuk yang lebih jelas daripada dasar monetari AS dan perkembangan geopolitik semasa,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, FBM KLCI berisiko untuk turun ke paras 1,550 mata dalam masa terdekat, berikutan tekanan luaran susulan pengumuman tarif baharu oleh AS ke atas produk semikonduktor.
“Bursa Malaysia secara keseluruhan dijangka menyusut buat seketika, sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu, sehinggalah muncul petunjuk baharu yang mampu mengembalikan keyakinan pelabur.
“Langkah AS mengenakan tarif sebanyak 100% ke atas semikonduktor yang diimport dari beberapa negara termasuk yang memberi kesan tidak langsung kepada syarikat-syarikat Malaysia dilihat sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.
“Ini sekaligus memberi tekanan kepada kaunter-kaunter saham tempatan yang bergantung kepada bekalan komponen semikonduktor dari AS, terutamanya dalam sektor teknologi dan elektronik,” katanya.
Mohd. Rizal memaklumkan, beberapa syarikat tempatan yang bergantung besar kepada pasaran dan rantaian bekalan dari AS kini perlu mengambil tindakan segera bagi mencari sumber alternatif, termasuk meneroka pembekal baharu dari negara lain, bagi mengurangkan risiko gangguan operasi dan peningkatan kos.
Di samping itu, beliau berkata, ringgit juga dijangka terkesan secara negatif berikutan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak.
“Mata wang tempatan dijangka melemah sedikit ke paras sekitar RM4.35 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, selari dengan penyusutan sentimen serantau dan aliran keluar dana asing dari pasaran ekuiti.
“Dalam suasana pasaran yang tidak menentu ini, pelabur disarankan untuk kekal berhati-hati dan memantau perkembangan dasar perdagangan global serta kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa monetari yang mungkin memberi hala tuju baharu kepada pasaran,” katanya.-UTUSAN