KOTA KINABALU: Kerajaan melihat keperluan untuk menambah kerusi Parlimen Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan kerajaan melihat ia sebagai satu dasar yang wajar dipertimbangkan.
Bagaimanapun katanya, penambahan kerusi tersebut tidak melibatkan satu pertiga kerusi Parlimen seperti yang dibangkitkan, sebaliknya kerajaan hanya bersetuju bahawa peningkatan kerusi adalah wajar berdasarkan keadaan semasa.
“Prinsip penambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak telah dipersetujui secara dasar, namun pelaksanaannya akan dilakukan setelah aspek perundangan disiapkan sepenuhnya.
“Tidak ada komitmen mengenai satu pertiga tetapi peningkatan itu memang perlu. Sebab itu saya telah minta Peguam Negeri Sabah, Sarawak dan Peguam Negara selesaikan perkara teknikal dahulu sebelum dibentangkan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sarapan pagi dan sembang santai pengamal media Sabah bersama Perdana Menteri, disini, hari ini.
Tambah Anwar, penyelesaian dari sudut perundangan dan Perlembagaan perlu diperhalusi bagi memastikan proses penambahan kerusi dilakukan secara teratur dan mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, di Semenanjung terdapat kawasan Parlimen yang jumlah pengundinya mencecah sehingga 350,000 orang, malah ada yang dianggarkan sudah menghampiri 380,000 hingga 400,000 pengundi.
Sebaliknya, kata beliau, terdapat kawasan pembangunan di Sabah dan Sarawak yang hanya mempunyai sekitar 38,000 pengundi sahaja, menjadikan jurang jumlah pengundi antara negeri-negeri amat besar.
Beliau menjelaskan perbezaan itu membawa implikasi besar kepada keadilan representasi rakyat kerana kawasan yang padat dengan pengundi berdepan beban tugas lebih berat berbanding kawasan yang luas tetapi jumlah pengundi kecil.
“Jarak perbezaannya memang besar antara kawasan sesak dan sempit dengan sudut-sudut yang banyak, berbanding kawasan luas yang jumlah pengundinya sedikit,” katanya. – UTUSAN










