PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad (CIMB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Remedi Innovations Sdn. Bhd. (Remedi) membangunkan bersama penyelesaian digital kesihatan dan kesejahteraan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang teknologi penjagaan kesihatan.
Kerjasama strategik itu memperkukuh kedudukan CIMB sebagai pemudah cara ekosistem dan rakan inovasi yang mendorong penyelesaian kewangan berteraskan teknologi dalam sektor berpotensi tinggi.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Program Inovasi Makmal Digital CIMB yang direka bagi menyepadukan perkhidmatan kewangan secara langsung dalam platform digital yang digunakan oleh PKS.
Pengarah Urusan Bersama Perbankan Komersial dan Urus Niaga Kumpulan CIMB Group, Lawrence Loh berkata, CIMB membayangkan semula cara perkhidmatan kewangan dapat disampaikan dengan lebih lancar kepada PKS melalui penyepaduan dalam ekosistem digital yang mereka telah pun gunakan.
“Sejajar dengan visi ini, kami melancarkan Program Inovasi Makmal Digital dan kami berbesar hati menerima Remedi sebagai rakan kongsi pertama kami.
“Penjagaan kesihatan merupakan sektor pertumbuhan berpotensi tinggi di Malaysia dan kami melihat peluang besar untuk menyokong transformasi digital sektor ini.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat membantu PKS dalam penjagaan kesihatan menambah baik operasi, mengurus kewangan dengan lebih efisien dan seterusnya memberi fokus kepada penjagaan pesakit,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kerjasama itu mencerminkan komitmen CIMB dalam menawarkan penyelesaian praktikal khusus sektor, bagi membantu PKS mendigitalkan operasi, berkembang secara mampan dan membina daya tahan jangka panjang.
“Dengan menyepadukan perkhidmatan kewangan ke dalam platform rakan kongsi kami, kami menjadi perantara jurang dalam penggunaan digital dan mempercepat inovasi dalam industri penjagaan kesihatan,” katanya.
Bersama dengan MoU baru-baru ini bersama Pharmaniaga Berhad, inisiatif itu melengkapi tawaran pembiayaan nilai tambah CIMB untuk PKS dalam rantaian bekalan penjagaan kesihatan dan mencerminkan pendekatan holistiknya menyokong sektor ini melalui penyelesaian kewangan bersepadu dan berdasarkan keperluan. – UTUSAN










