AMD perluas kemudahan R&D di Pulau Pinang

AMD perluas kemudahan R&D di Pulau Pinang

HOW Kon Yeow (lima dari kiri) ketika merasmikan pembukaan pejabat dan makmal kejuruteraan baharu AMD di GBS by the Sea, di Bayan Lepas, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Syarikat semikonduktor, AMD terus mengukuhkan jejak globalnya menerusi pembukaan pejabat dan makmal kejuruteraan baharu berkeluasan 209,000 kaki persegi di GBS by the Sea.

Kemudahan canggih yang direka untuk menampung lebih 1,200 pekerja itu menampilkan ruang kerja terbuka serta makmal kejuruteraan berteknologi tinggi bagi menyokong pembangunan reka bentuk semikonduktor generasi baharu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian itu menjadi bukti kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan mampan di mana syarikat bukan sahaja menempatkan operasi tetapi turut berkembang pesat.

“Apabila trend global bergerak pantas ke arah teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kerajaan negeri melalui InvestPenang kekal komited menyokong pelabur berwawasan seperti AMD,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pejabat dan makmal kejuruteraan baharu AMD di GBS by the Sea, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid; Naib Presiden Kanan Operasi Global AMD, Keivan Keshvari dan Ketua Tapak Operasi AMD Pulau Pinang, Chuang-Li Khoo.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, beberapa tahun lalu, AMD bertemu InvestPenang untuk berkongsi rancangan pengembangan operasi mereka, namun, syarikat itu menghadapi kesukaran untuk mencari fasiliti yang sesuai. 

“Ketika itulah kerajaan negeri melalui PDC tampil membina GBS By The Sea iaitu ruang seluas 209,000 kaki persegi yang direka khas dengan infrastruktur berteknologi tinggi dan mampu menempatkan lebih 1,200 profesional, hari ini AMD secara rasmi berpindah masuk,” katanya.

Dalam pada itu, Sikh Shamsul berkata, pelaburan baharu AMD tersebut mencerminkan hubungan erat Malaysia dengan peneraju teknologi global.

“Daripada kerjasama awal dalam pembuatan lima dekad lalu hingga pelaburan besar dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dan perkhidmatan bernilai tinggi, perjalanan AMD menggambarkan kemajuan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor,” ujarnya.

Beliau berkata, inisiatif itu selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Negara dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sambil mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi serta memupuk ekosistem dinamik.

Bagi Chuang-Li pula, perasmian pejabat dan makmal kejuruteraan baharu AMD itu pula adalah simbolik kepada perjalanan panjang AMD di Malaysia sejak memulakan operasi di Pulau Pinang pada 2002.

“Kemudahan ini direka untuk membolehkan pasukan kami berkembang, bekerjasama dan menghasilkan penyelesaian bertaraf dunia. Ia sekali gus dapat mengukuhkan Pulau Pinang sebagai hab bakat dan inovasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×