Sapura Energy menang 2 kontrak lebih RM500 juta di Thailand

Sapura Energy menang 2 kontrak lebih RM500 juta di Thailand

KONTRAK pemasangan dan penyingkiran tersebut dijangka siap pada akhir tahun 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sapura Energy Berhad (SEB) memenangi dua kontrak daripada pelanggan jangka panjangnya di Thailand dengan nilai gabungan melebihi RM500 juta.

Kontrak tersebut telah diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya Sapura Energy (Thailand) Limited (SETH) untuk kempen pemasangan dan penyingkiran serta perkhidmatan pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan (IRM) dasar laut.

Kontrak pemasangan dan penyingkiran yang dianugerahkan oleh Chevron Thailand Exploration and Production Ltd. dan Chevron Offshore (Thailand) Ltd. dijangka siap pada penghujung tahun kalendar 2026.

Kempen pemasangan dan penyingkiran luar pesisir akan dilaksanakan oleh pasukan kejuruteraan & pembinaan (E&C) kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Muhammad Zamri Jusoh berkata, penganugerahan kontrak dibina atas perkongsian lama SEB dengan pelanggan di Thailand, berdasarkan rekod prestasi kumpulan yang terbukti untuk kempen luar pesisir yang serupa di negara itu.

“Ia juga menunjukkan strategi kami membida untuk projek yang sejajar dengan selera risiko, keupayaan teras dan kecekapan penggunaan kapal kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

SEB telah mencipta rekod prestasi dalam melaksanakan projek penyahtauliahan di Thailand, dengan yang pertama ialah kempen Rig-to-Reef pada 2020.

Sejak itu, pasukan SEB telah menunjukkan penyampaian projek yang konsisten, termasuk mencapai 1.5 juta jam kerja tanpa satu pun kecederaan masa hilang dalam kempen penyingkiran saluran paip baru-baru ini dan menjadi yang pertama di Asia untuk melaksanakan kaedah S-lay terbalik dalam penyahtauliahan saluran paip.

Sementara itu, pesanan perkhidmatan untuk perkhidmatan IRM dasar laut kumpulan telah dianugerahkan oleh PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP).

Skop kerja terdiri daripada operasi menyelam tepu untuk kemudahan dalam projek G1/61 dan G2/61.

Operasi ini akan dilaksanakan oleh segmen perniagaan operasi & penyelenggaraan (O&M) kumpulan, menggunakan kapal pembinaan dasar laut khusus SEB Sapura Constructor yang dilengkapi dengan penginapan untuk 120 kakitangan dan kemudahan sokongan menyelam untuk sehingga 15 penyelam.

Kerja-kerja untuk IRM dasar laut telah dimulakan pada suku kedua tahun kalendar 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN