RM595 juta kos rawatan 44,247 pesakit di IJN

RM595 juta kos rawatan 44,247 pesakit di IJN

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 44,247 orang telah mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun lalu dan kerajaan membelanjakan hampir RM600 juta untuk tujuan tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 26,782 merupakan pesara, sementara 16,303 pesakit lagi pegawai kerajaan dan 1,172 merupakan pesakit kurang mampu.

“Jumlah keseluruhan kos rawatan yang ditanggung kerajaan bagi tahun ini adalah sebanyak RM595 juta yang merangkumi RM358 juta untuk pesara, RM200 juta bagi kakitangan kerajaan dan RM37 juta bagi pesakit kurang mampu,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin mengetahui sama ada IJNSB masih mempunyai Tabung Kebajikan untuk membantu pesakit miskin kerana difahamkan tabung tersebut telah dimansuhkan serta sebab kerajaan tidak lagi membiayai rawatan pesara kerajaan di IJN.

Dzulkefly berkata, terdapat tiga kategori pesakit tanggungan Kerajaan Persekutuan yang mendapat rawatan di IJNSB iaitu pegawai perkhidmatan awam Persekutuan, pesara awam Persekutuan dan pesakit kurang mampu.

Beliau berkata, kerajaan masih menanggung kos rawatan pesara Persekutuan dan pesakit kurang mampu yang dirujuk ke IJNSB bagi mendapatkan rawatan yang tidak disediakan di hospital kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN