Ramssol bantu syarikat tempatan guna teknologi AI China

Ramssol bantu syarikat tempatan guna teknologi AI China

TEO Nie Ching (tengah) menerima cenderahati daripada Ketua Pengurus Tencent Cloud International, Kenneth Siow (kiri) pada Persidangan Pertukaran Kerjasama Teknologi dan Perdagangan Malaysia-China di Hotel Sheraton, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramssol Group Berhad menyasarkan untuk membantu syarikat korporat dan perniagaan runcit tempatan mengintegrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan awan dari China melalui penganjuran Persidangan Pertukaran Kerjasama Teknologi & Perdagangan Malaysia-China 2025.

Langkah itu dijangka mampu meningkatkan kecekapan operasi dan memperkasa pengalaman pelanggan berasaskan data, sejajar dengan matlamat jangka panjang syarikat untuk memacu transformasi digital merentas sektor.

Persidangan yang berlangsung di Kuala Lumpur itu menghimpunkan pemain teknologi utama dari kedua-dua negara termasuk Tencent Cloud, Equinix dan Zhipu AI dengan tumpuan kepada penyelesaian digital terkini dan aplikasi teknologi masa hadapan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, acara ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang teknologi, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia ke arah ekonomi digital yang mampan.

“Teknologi seperti AI, infrastruktur awan dan komunikasi masa nyata sedang mentakrifkan semula cara ekonomi berkembang dan Malaysia berbangga untuk berada di barisan hadapan transformasi ini.

“Hubungan kukuh kita dengan China, yang diterajui pemain utama seperti Tencent, membuka jalan ke arah ekosistem digital yang lebih bersambung, inklusif dan bersedia untuk masa hadapan bukan sahaja untuk kedua-dua negara, tetapi juga rantau ini secara keseluruhan,” katanya dalam ucapan semasa persidangan tersebut di sini hari ini. 

Antara topik yang dibincangkan adalah tren penggunaan AI, penglibatan pelanggan masa nyata menerusi TRTC (Tencent Real-Time Communication), serta inovasi seperti kedai runcit tanpa juruwang, sistem parkir automatik 24/7 dan pemprosesan media bentuk pendek berasaskan AI.

Pengerusi Ramssol, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, pengenalan penyelesaian AI dan awan oleh Tencent Cloud ke pasaran Malaysia akan dilaksanakan melalui anak syarikatnya, Rams Solutions.

“Kerjasama seperti ini bukan sekadar platform perkongsian ilmu, ia adalah pintu masuk strategik kepada pertumbuhan masa depan.

“Dengan menyelaraskan aspirasi digital Malaysia dengan kepakaran teknologi China, kami membuka laluan kepada inovasi berterusan dan memperkasa tenaga kerja yang bersedia menghadapi era Industri 4.0,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×