Pengumuman Anwar dijangka rangsang sentimen pasaran

Pengumuman Anwar dijangka rangsang sentimen pasaran

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merangsang sentimen pasaran, memandangkan potensi kelembapan ekonomi berikutan ketidaktentuan luaran.

AmBank Economics berkata, pengumuman tersebut juga dapat mengukuhkan permintaan dalam negeri untuk menyokong pertumbuhan pada 2025.

Katanya, tiada semakan kepada sasaran pertumbuhan rasmi iaitu antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada pengumuman tersebut.

“Oleh itu, pengumuman itu bertujuan untuk meningkatkan keyakinan pengguna dan pelaburan serta menyokong pertumbuhan bagi tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma penyelidikan berkata, langkah yang baru diumumkan itu dijangka menelan belanja sekurang-kurangnya RM2.8 bilion, terdiri daripada RM2.0 bilion untuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM300 juta untuk memperluaskan barangan Jualan Rahmah dan RM500 juta sebagai pampasan kepada pemegang konsesi tol kerana mengekalkan kadar tol semasa.

“Ini menyumbang kurang daripada satu peratus daripada jumlah peruntukan Belanjawan 2025 (RM419.7 bilion).

“Oleh itu, kami mengekalkan pandangan kami bahawa sasaran defisit fiskal kekal boleh dicapai,” ujarnya.

AmBank Economics berkata, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tidak berubah pada 3.8 peratus dengan inflasi pada 2.0 peratus, kadar pengangguran pada 3.1 peratus (purata) dan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada 2.75 peratus.

“Seperti yang dinyatakan, sasaran defisit fiskal sebanyak 3.8 peratus adalah utuh berikutan potensi peningkatan hasil daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak RM5.0 bilion. Jika perlu, perbelanjaan pembangunan boleh dipotong untuk memenuhi sasaran defisit.

“Sementara itu, Perdana Menteri juga menyebut bahawa rasionalisasi subsidi RON95 akan diteruskan seawal suku keempat 2025.

“Mekanisme untuk penyasaran subsidi masih tidak jelas, menyebabkan penganalisis mencari lebih banyak petunjuk untuk menganggarkan kesannya terhadap ekonomi,” ujarnya.

Firma berkata, pemberian SARA sebanyak RM100 untuk semua rakyat Malaysia dan pemotongan OPR 25 mata asas baru-baru ini dijangka menyokong penggunaan swasta apabila momentum menjadi lemah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN