PETALING JAYA: Betamek Bhd. mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM5.4 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, meningkat 10.2 peratus berbanding RM4.9 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Syarikat pengeluar reka bentuk asal (ODM) dan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu berkata, hasil suku dikaji meningkat 13.8 peratus kepada RM56.9 juta daripada RM50 juta pada suku pertama 2025, disumbang oleh jualan aksesori kenderaan yang lebih tinggi serta sumbangan awal daripada produk bukan automotif.
Katanya, segmen audio dan visual automotif kekal sebagai penyumbang utama hasil dengan RM38.9 juta atau 68.4 peratus daripada keseluruhan hasil dan aksesori kenderaan menyumbang RM11.3 juta, manakala produk bukan automotif mencatat RM6.6 juta.
Pasaran domestik terus menjadi penyumbang utama kepada hasil keseluruhan dengan 97.2 peratus, manakala selebihnya disumbang oleh pasaran luar negara termasuk Hong Kong dan Jepun.
Berbanding suku keempat tahun kewangan 2025, hasil merosot 4.8 peratus daripada RM59.7 juta, dipengaruhi faktor bermusim akibat tempoh perayaan.
Namun, margin sebelum cukai meningkat kepada 12.6 peratus berbanding 12.1 peratus, menunjukkan kecekapan operasi yang berterusan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, prestasi positif itu mencerminkan keberkesanan pelan kepelbagaian syarikat serta peningkatan operasi terutama menerusi anak syarikat Sanshin Malaysia.
“Kami terus komited memperkukuh asas pelanggan serta mengembangkan sektor bukan automotif.
“Usaha sama dengan Shenzhen Zhonghong Technology Co. Ltd. dijangka mempercepat pembangunan sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) dan platform infotainmen generasi baharu seperti SafeSync360,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, walaupun pasaran automotif Malaysia dijangka stabil susulan jumlah keseluruhan industri (TIV) mencecah rekod 816,747 unit pada 2024, Betamek yakin terhadap prospek permintaan kenderaan mampu milik yang diterajui pelanggan utama, Perodua, dengan baki pesanan kukuh berjumlah 90,000 unit.
Lembaga Pengarah Betamek turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.0 sen sesaham bagi tahun kewangan semasa, dengan tarikh akhir kelayakan pada 6 Ogos 2025 dan pembayaran pada 20 Ogos 2025. – UTUSAN










