PETALING JAYA: Aplikasi e-dagang, MOVA menjangkakan jumlah keseluruhan pengguna di Malaysia dan Indonesia melepasi 10 juta menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Mova Digital Tech Sdn. Bhd., Moon Ng berkata, jangkaan tersebut dibuat berikutan potensi besar pasaran e-dagang di rantau Asia Tenggara yang semakin berkembang pesat.
Katanya, beliau turut menyasarkan tiga juta pengguna aktif di Malaysia menjelang akhir tahun ini, sekali gus mengukuhkan kehadirannya di pasaran tempatan selepas kejayaan awal di Indonesia.
“Sasaran itu adalah realistik memandangkan jumlah pengguna di Indonesia telah melebihi 500,000 sejak pelancarannya di negara berkenaan tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Moon lagi, aplikasi tersebut menawarkan insentif dua hala kepada pengguna iaitu pulangan tunai peribadi serta ganjaran rujukan, menjadikan ia menarik untuk pembeli dan pencipta kandungan.
“Dengan gabungan pasukan teknologi profesional dan operasi tempatan yang responsif, kami yakin mampu memenuhi keperluan pengguna digital masa kini,” katanya.
MOVA merupakan aplikasi pulangan tunai pihak ketiga yang membolehkan pengguna memperoleh ganjaran semasa membeli-belah di platform popular seperti Shopee dan TikTok.
Dengan integrasi lancar bersama platform e-dagang terkemuka itu, MOVA menawarkan nilai tambah kepada pengguna dan membantu peniaga meningkatkan kadar penukaran jualan mereka.
Tambah Moon, idea penghasilan MOVA tercetus daripada pemerhatian mendalam terhadap tabiat pengguna yang semakin cenderung untuk berjimat serta keperluan pencipta kandungan untuk menukar trafik kepada pendapatan.
“Kami membina satu platform yang membolehkan semua orang menyertainya. Pengguna bukan saja menerima pulangan tunai, tetapi juga boleh membina pasukan mereka untuk menjana pendapatan jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Calvin menjelaskan pengguna hanya perlu membuat semakan pulangan tunai menerusi aplikasi MOVA sebelum membeli di Shopee atau TikTok dan pulangan tunai akan dikreditkan secara automatik.
Beliau berkata, pengguna juga boleh menaik taraf kepada rakan rasmi MOVA dan berkongsi pautan pembelian dengan rakan-rakan untuk memperoleh ganjaran daripada setiap transaksi yang dilakukan rakan mereka.
“Langkah ini membuka peluang untuk menjana pendapatan pasif secara konsisten,” katanya. – UTUSAN










