KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan terdapat beberapa garis merah yang tidak akan dikompromi dalam rundingan perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS) meskipun berdepan ancaman tarif 25 peratus.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, hal ini kerana untuk menjaga kedaulatan dasar dan kepentingan nasional.
“Antara garis merah bagi negara adalah perkara seperti hak Malaysia untuk mengenakan cukai digital dan isu mengenai pemerolehan kerajaan.
“Selain itu, beberapa undang-undang domestik seperti berkaitan e-dagang dan jenayah siber yang telah diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini juga termasuk dalam senarai isu yang dianggap sensitif oleh kerajaan.
“Dasar pemerolehan kerajaan juga perlu dikekalkan seperti yang sedia ada. Kita menganggap ini sebagai isu yang perlu dipertahankan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media mengenai tarif AS dI Menara MITI di sini.
Tengku Zafrul berkata, bagi halangan bukan tarif, beliau memberi contoh tentang pensijilan halal, yang mana Malaysia tidak membenarkan import daging dari AS memandangkan ia dilihat tidak memenuhi piawaian pensijilan halal negara.
“Ada sensitiviti di sana dan mereka juga perlu menjelaskan kepada rakyat mereka kenapa mereka boleh mengeksport ke negara seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (dan bukan Malaysia)?
“Ini satu contoh dan ia bukan garis merah bagi kita, mereka hanya perlu memenuhi piawaian,” katanya.
AS sebelum ini membangkitkan persoalan mengapa mereka dibenarkan mengeksport ke negara-negara Islam lain seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, tetapi tidak ke Malaysia.
Zafrul menjelaskan sensitiviti ini perlu difahami oleh rakan rundingan AS, kerana ia melibatkan keperluan tempatan dan norma budaya yang unik kepada ASEAN dan Malaysia.
Tengku Zafrul menegaskan, walaupun Malaysia berpegang teguh pada beberapa perkara, rundingan masih berjalan secara telus dan inklusif bersama semua kementerian dan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Kami berbincang dengan semua kementerian termasuk pertanian, farmaseutikal dan Kementerian Kesihatan.
“Ada isu berkaitan piawaian perubatan dan teknikal yang kami rasa mungkin tidak adil, ” katanya.
Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai piawaian tersebut, Tengku Zafrul menyatakan Malaysia tetap akan membuat pertimbangan yang adil dan akan memberi penjelasan sewajarnya kepada pihak AS.
“Dalam banyak isu, selepas kita jelaskan sebab-sebabnya, pihak AS akhirnya menerima alasan dan pendirian kita,” katanya.
Tengku Zafrul juga menjelaskan, salah satu cabaran utama dalam rundingan ini adalah tempoh masa yang agak singkat.
“Malaysia memerlukan masa tambahan untuk menyelaras dan memastikan kepentingan semua pihak dipelihara,” katanya. – UTUSAN










