Berjaya Tioman Resort catat kadar penginapan cecah 70 peratus

Berjaya Tioman Resort catat kadar penginapan cecah 70 peratus

MOHAMED Syairoz Mohd. Odman (tengah) ketika bergambar bersama media sempena sambutan ulang tahun ke-40 Berjaya Tioman Resort di Berjaya Tioman Resort di sini, baru-baru ini. -UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Berjaya Tioman Resort dekat sini terus mencatatkan pertumbuhan positif dalam sektor pelancongan dengan kadar purata penginapan mencecah 70 peratus sepanjang tahun, kekal menjadi tarikan utama khususnya kepada pelancong asing.

Penolong Pengurus Besar Unit Komunikasi dan Kelestarian Berjaya Land Berhad, Mohamed Syairoz Mohd. Odman berkata, Berjaya Tioman Resort merupakan hotel pertama yang dibangunkan di bawah Kumpulan Berjaya dan telah menjadi perintis dalam memperkenalkan hospitaliti Malaysia bertaraf dunia sejak 40 tahun lalu.

“Berjaya Tioman Resort dibina bukan sekadar tempat penginapan, tetapi sebagai lambang komitmen Berjaya dalam mempromosikan Malaysia kepada pelancong dunia. 

“Hari ini, sekitar 70 peratus pengunjung resort ini terdiri daripada pelancong antarabangsa, dengan kebanyakan mereka datang dari China, Eropah dan Singapura. 

“Kebanyakan mereka datang kerana tertarik dengan ulasan yang positif secara dalam talian. Mereka kenal Tioman melalui carian mereka dan kemudian menemui resort kami dengan reputasi yang baik,” katanya kepada pemberita sempena sambutan ulang tahun ke-40 Berjaya Tioman Resort di sini. 

Mohamed Syairoz berkata, lokasi strategik, kemudahan lengkap serta fokus kepada pengalaman pelanggan menjadi tarikan utama pelancong, terutamanya dari luar negara.

“Dengan peningkatan ini, Berjaya Tioman Resort kekal komited dalam memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa,” katanya. 

Mohamed Syairoz berkata, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi menerusi pelancongan, Berjaya Tioman Resort juga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, termasuk kakitangan yang telah berkhidmat melebihi satu dekad. 

“Hubungan erat antara pihak pengurusan dan pekerja menjadi antara kekuatan utama yang menyokong kelestarian operasi,” katanya.

Selaras dengan agenda kelestarian, resort ini turut aktif dalam inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) termasuk pengurangan penggunaan plastik, penggunaan kad ‘Live The Earth’ untuk menjimatkan linen dan air serta aktiviti pembersihan pantai secara berkala. 

“Malah, pada tahun lalu, resort ini berjaya mengumpulkan lebih 3.5 tan sampah pantai dalam program gotong-royong yang dianjurkan dan disertai oleh kakitangan sendiri,” katanya. 

Beliau turut memaklumkan, Berjaya Tioman Resort kini bukan sahaja menjadi ikon pelancongan Malaysia, tetapi juga model kepada bagaimana jenama tempatan boleh mencapai piawaian antarabangsa melalui kualiti, nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

Berjaya Tioman Resort meraikan ulang tahunnya yang ke-40 dengan membawa lebih 27 wakil media menelusuri sejarah dan impak ekonomi resort ikonik ini terhadap pelancongan tempatan.

Ditubuhkan pada awal 1980-an, resort ini dibina daripada visi pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan, yang mahu memperkenalkan hospitaliti Malaysia kepada dunia. 

Lokasi strategik di Pulau Tioman dipilih kerana keindahan semula jadinya serta potensi untuk menjadi destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN