AS mahu akses kepada ekuiti sektor strategik Malaysia

AS mahu akses kepada ekuiti sektor strategik Malaysia

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat mahu Malaysia membenarkan syarikat asing mengambil alih ekuiti dalam sektor strategik negara dalam mengurangkan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas produk tempatan yang dikenakan pentadbiran Trump.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ada permintaan dari pihak AS agar Malaysia meliberalisasikan sekatan pemilikan ekuiti asing dalam beberapa sektor strategik.

“Seperti yang diketahui, Malaysia mempunyai sekatan terhadap pemilikan ekuiti oleh pelabur asing dalam beberapa sektor. 

“Ada permintaan agar kita menilai semula perkara ini, namun ia memerlukan libat urus dengan industri terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Kad Laporan MITI bagi suku tahun kedua 2025 di Menara MITI di sini, semalam.

Antara pencapaian kementerian dalam tempoh tersebut adalah lonjakan 11 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025 kepada kedudukan ke-23, yang merupakan pencapaian terbaik negara sejak 2020.

Ia didorong terutamanya oleh penambahbaikan dalam prestasi ekonomi serta kecekapan kerajaan dan perniagaan.

Beliau turut menyatakan walaupun terdapat sektor yang telah pun dibuka sepenuhnya kepada pelabur asing, terdapat juga sektor-sektor penting yang masih dikawal bagi melindungi kepentingan negara.

“Permintaan mereka adalah untuk liberalisasi sepenuhnya dalam semua sektor, tetapi sebagai sebuah negara berdaulat, kita perlu menilai sama ada itu sesuatu yang wajar demi kepentingan strategik negara,” katanya.

Malaysia sebelum ini telah mengambil langkah awal dengan memperkenalkan pindaan kepada Akta Perdagangan Strategik sebagai usaha menangani sebahagian kebimbangan berkenaan halangan bukan tarif.

Tengku Zafrul berkata, perbincangan akan diteruskan sepanjang bulan ini dan Malaysia kekal komited untuk mencapai penyelesaian yang seimbang serta berpihak kepada kepentingan jangka panjang negara.

Mengulas mengenai prestasi perdagangan, Tengku Zafrul berkata, Malaysia secara keseluruhan masih dalam jangkaan positif bagi tahun ini.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, unjuran pertumbuhan perdagangan bagi 2025 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah sekitar empat hingga lima peratus, manakala Kementerian kewangan menjangkakan sekitar 3.9 peratus. 

“Jadi kita terus beri tumpuan untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zafrul turut memaklumkan rundingan perdagangan antara Malaysia dengan wakil Pejabat Perwakilan Perdagangan AS (USTR) sedang giat diteruskan.

“Kami telah mengadakan perbincangan yang konstruktif dan fokus semasa adalah mengenal pasti perkara berkaitan tarif dan bukan tarif yang boleh dipersetujui bersama.

“Saya menetapkan tarikh akhir dalaman pasukan kami dan AS telah menetapkan tarikh akhir pada 1 Ogos,” katanya. 

Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pengenaan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas Malaysia berkuatkuasa 1 Ogos ini, berbanding 24 peratus sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×