Sunzen teroka perkukuh pasaran serantau

Sunzen teroka perkukuh pasaran serantau

SUNZEN turut memberi tumpuan kepada pasaran seperti Singapura, Vietnam dan Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sunzen Group Berhad (Sunzen) kini meneroka pilihan peluang di pasaran serantau Asia bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri kesihatan dan teknologi perubatan, dengan China kekal sebagai destinasi eksport utama, khususnya bagi produk sarang burung yang boleh dimakan.

Pengarah Urusan Kumpulan Sunzen, Teo Yek Ming berkata, tumpuan turut diberikan kepada pasaran seperti Singapura, Vietnam dan Indonesia yang menyaksikan peningkatan minat terhadap produk kesihatan semula jadi dan minuman berfungsi.

“Meskipun begitu, pengembangan ke luar negara akan dilaksanakan secara berhati-hati dan strategik, sejajar dengan keutamaan kumpulan untuk memperkukuh kedudukan dalam pasaran domestik terlebih dahulu.

“Pasaran antarabangsa akan diterokai menerusi peluang eksport khusus dan kerjasama strategik yang selari dengan hala tuju jangka panjang kumpulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, di peringkat domestik, Sunzen kini memberi tumpuan kepada penambahbaikan tawaran produk dan perkhidmatan dalam segmen teras, terutamanya kesihatan dan penyelesaian oftalmik.

Katanya, antara strategi utama yang sedang dilaksanakan ialah peralihan model pengeluaran kepada Pembuatan Reka Bentuk Asal (ODM) bagi produk kesihatan.

“Pendekatan ini membolehkan Sunzen membangunkan produk secara tersuai bersama rakan kongsi, menggabungkan kepakaran formulasi dalaman dengan kekuatan penjenamaan serta pemasaran pihak ketiga.

“Langkah ini akan membolehkan kumpulan melangkaui model pengilang peralatan asal (OEM) tradisional dan menawarkan penyelesaian bernilai tambah yang lebih responsif terhadap keperluan pasaran,” jelasnya.

Mengulas mengenai segmen oftalmik, beliau berkata, menerusi anak syarikatnya, Eye Nation Medical, Sunzen terus memperluaskan portfolio peralatan perubatan berkualiti tinggi dan teknologi penjagaan penglihatan.

“Kumpulan memberi tumpuan kepada pengenalan produk oftalmik premium daripada jenama antarabangsa yang disesuaikan dengan keperluan hospital swasta, klinik dan pusat pakar tempatan.

“Inisiatif-inisiatif tersebut dilihat sejajar dengan strategi Sunzen untuk berkembang sebagai penyedia penyelesaian bersepadu dan berfokus kepada pelanggan dalam bidang kesihatan dan perubatan,” ujarnya.

Mengenai prospek pertumbuhan kewangan, beliau berkata, bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, kumpulan itu kekal optimis terhadap potensi pertumbuhan meskipun berdepan cabaran persekitaran ekonomi semasa.

“Prestasi kumpulan dalam separuh pertama tahun kewangan ini dilaporkan menggalakkan, disokong oleh permintaan stabil terhadap produk kesihatan, penyumbangan kukuh daripada segmen pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kejayaan integrasi perniagaan peranti dan perkhidmatan perubatan.

“Kumpulan berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menavigasi cabaran semasa menerusi tumpuan kepada segmen pertumbuhan tinggi seperti pembiayaan PKS dan perkhidmatan oftalmik, strategi ODM serta pelaburan berterusan dalam penjenamaan dan penembusan pasaran domestik.

“Pada masa sama, cadangan pelupusan bahagian Kesihatan Haiwan yang tidak menguntungkan dijangka dapat memperkukuh fleksibiliti kewangan kumpulan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN