Pelaksanaan SST perlu teliti, elak jejas sektor peruncitan

Pelaksanaan SST perlu teliti, elak jejas sektor peruncitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) menyarankan agar pelaksanaan semakan dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sektor peruncitan yang ketika ini masih berada dalam fasa pemulihan ekonomi.

Presidennya, Datuk Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar berkata, secara prinsipnya, pihaknya memahami keperluan kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara serta meluaskan asas percukaian.

“Langkah tersebut dilihat sebagai satu usaha jangka panjang bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan negara.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu diteliti dengan cermat agar tidak menjejaskan pertumbuhan sektor peruncitan, terutamanya dalam suasana ekonomi semasa yang masih perlahan.

“Kerajaan juga disaran menilai semula impak peluasan SST secara berkala dan bersedia melakukan pelarasan sekiranya didapati memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan sektor peruncitan atau kuasa beli pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan secara bersasar mulai 1 Julai ini, selaras dengan pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.

Menurut Kementerian Kewangan, langkah itu bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian, tanpa membebankan rakyat secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Syed Naqiz berkata, walaupun peluasan SST tidak melibatkan barangan keperluan asas secara langsung, para peruncit tetap akan berdepan kesan dalam beberapa aspek.

“Ini antaranya perkhidmatan tambahan seperti logistik, perisian dan penyelenggaraan yang kini mungkin dikenakan cukai akan menyebabkan peningkatan kos operasi.

“Kenaikan kos ini memberi tekanan kepada margin keuntungan dan secara tidak langsung menyumbang kepada kesan psikologi terhadap pengguna, yang akan menjadi lebih berhati-hati dalam berbelanja apabila harga perkhidmatan meningkat,” katanya.

Menurut beliau, penyesuaian sistem Point of Sale (POS), akaun dan pelaporan juga boleh menjadi beban tambahan, terutamanya kepada peruncit kecil dan sederhana.

Sehubungan itu, BRO mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi memastikan pelaksanaan peluasan SST berjalan lancar tanpa memberi tekanan berlebihan kepada industri.

“Ia merangkumi pelaksanaan secara berperingkat bagi memberi ruang kepada pemain industri untuk menyesuaikan sistem dan operasi masing-masing.

“Kerajaan juga digesa mempertimbangkan pengecualian kepada perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi mengelakkan kesan berganda kepada pengguna.

“Selain itu, sesi libat urus yang berterusan bersama persatuan industri dan peruncitan perlu dijalankan supaya pandangan di peringkat akar umbi dapat diambil kira.

“Penerangan dan pendidikan yang jelas juga penting bagi memastikan peruncit dan pengguna memahami jenis barangan dan perkhidmatan yang terlibat, sekali gus mengelakkan kekeliruan atau kebimbangan tidak berasas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN