PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan lonjakan 11 anak tangga dalam laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025, di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi berbanding tempat ke-34 tahun lepas, menjadikannya pencapaian terbaik negara sejak 2020.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kedudukan keseluruhan itu dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor utama iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan.
“Faktor Prestasi Ekonomi meningkat empat anak tangga ke tempat keempat terbaik berbanding kedudukan kelapan tahun lalu. Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan pula masing-masing naik lapan anak tangga.
“Subfaktor Perdagangan Antarabangsa turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila melonjak 11 anak tangga ke tempat keenam daripada kedudukan ke-17 tahun lalu.
“Lonjakan itu disokong oleh pertumbuhan kukuh eksport barangan dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran serta peningkatan hasil pelancongan yang menyumbang kepada lebihan dagangan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Laporan WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland bagi menilai keupayaan sesebuah negara mewujud dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan.
Kedudukan terbaharu ini turut mengukuhkan halatuju negara untuk tersenarai dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia sebelum 2033, seperti disasarkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.
“Usaha itu disokong Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam menyelaras hala tuju strategik merentas pelbagai kementerian.
“Di peringkat operasi pula, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memastikan pelaksanaan lebih 1,000 inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) berjalan lancar dan selari dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA),” katanya.
Tambahnya, peningkatan kedudukan Malaysia dalam penarafan WCR membuktikan bahawa faktor birokrasi berkait rapat dengan pelaburan dan pembangunan industri negara.
“Pendekatan Kerajaan MADANI berasaskan prinsip ‘whole-of-government’ menunjukkan komitmen kukuh dalam memacu reformasi dan penambahbaikan struktur secara menyeluruh,” katanya.
“MITI yakin dengan tadbir urus yang kukuh, sokongan kerajaan negeri dan Persekutuan serta kerjasama rapat industri, Malaysia berada pada landasan tepat untuk menjadi antara 12 ekonomi paling kompetitif dunia menjelang 2033,” katanya.-UTUSAN









