Malaysia harap rundingan tarif dengan AS capai kerjasama baharu

Malaysia harap rundingan tarif dengan AS capai kerjasama baharu

LIEW Chin Tong (dua dari kanan) di Sasana Symposium 2025 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap rundingan akan datang bersama Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif perdagangan dapat menghasilkan susunan kerjasama baharu, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Beliau berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz kini berada di AS bagi mengadakan perbincangan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer di di Washington DC. 

“Kita tunggu dahulu hasil perbincangan tersebut. 

“Seperti yang Tengku Zafrul sebutkan minggu lepas, secara umum kita berharap akan ada usaha bersama untuk merangka susunan baharu, tetapi kita tunggu hasil rundingan dahulu sebelum mengulas lanjut,” katanya kepada pemberita selepas sesi panel Deciphering Malaysia’s Investment Cycles sempena Sasana Simposium di sini hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa objektif utama delegasi tersebut adalah untuk mendapatkan akses pasaran yang lebih baik serta menangani cabaran berkaitan rantaian bekalan.

Beliau berkata, misi perdagangan itu turut bertujuan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, perkhidmatan digital dan awan, peranti perubatan, teknologi hijau serta kecerdasan buatan (AI).

Tengku Zafrul tiba di Amerika Syarikat semalam bagi memulakan rundingan mengenai tarif timbal balik, menjelang tamat tempoh pengecualian sementara pada 8 Julai ini.

Beliau sendiri akan mengetuai misi rundingan itu sebagai sebahagian daripada pendekatan proaktif MITI dalam menangani impak dasar perdagangan AS ke atas eksport negara.

Menurutnya, selain berunding secara langsung dengan pihak kerajaan dan dewan perniagaan AS, MITI juga menjalankan libat urus berterusan dengan Kedutaan AS di Malaysia bagi menyampaikan maklum balas industri tempatan yang terkesan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN