PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) melalui anak syarikatnya, Sungai Udang WTE Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian konsesi (PK) dengan kerajaan bagi tujuan reka bentuk, pembinaan, pembiayaan, operasi, penyelenggaraan dan penutupan kemudahan Waste-to-Energy di Sungai Udang, Melaka
Perjanjian itu dimeterai pada 19 Jun lalu menerusi kerjasama awam-swasta bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Kemudahan WTE berkenaan bakal memproses sehingga 1,056 tan sisa pepejal domestik sehari dan menjana kira-kira 22 megawatt tenaga boleh diperbaharui melalui Perjanjian Pembelian Tenaga yang akan dimeterai antara Tenaga Nasional Berhad dan syarikat konsesi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, projek itu menjadi pencapaian penting kepada Malakoff dan AFES dalam memperkukuh pembangunan mampan melalui penyelesaian infrastruktur jangka panjang.
“Kemudahan ini menangani keperluan mendesak pengurusan sisa di Melaka memandangkan tapak pelupusan sanitari sedia ada hampir penuh.
“Dengan mengalihkan lebih 300,000 tan sisa daripada tapak pelupusan setiap tahun, loji ini dijangka mengurangkan kira-kira 75,000 tan pelepasan karbon dioksida, bersamaan pemeliharaan lebih 3.4 juta pokok serta menghalang 23,000 meter padu air larut resapan daripada mencemari sumber air tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat konsesi berkenaan ialah usaha sama khas bagi projek berkenaan dengan Malakoff memegang 60 peratus kepentingan ekuiti, manakala 40 peratus lagi dimiliki Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES), anak syarikat milik penuh Alam Flora Sdn. Bhd. yang 97.37 peratus pegangan sahamnya dimiliki Malakoff.
Beliau berkata, ketika ini Malakoff mengurus sebanyak 3,649 tan sisa sehari dan dengan tambahan 1,056 tan sehari melalui projek itu, syarikat berkeupayaan mengendalikan sehingga 6,206 tan sehari berdasarkan kontrak, perjanjian konsesi serta aset sedia ada.
“Dengan keluasan hanya 3.964 hektar, kemudahan ini membuktikan bagaimana kejuruteraan pintar dapat memberi impak alam sekitar yang ketara sambil mengoptimumkan penggunaan tanah,” katanya.
Selaras Dasar Ekonomi Pusingan Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), projek berkenaan menyokong usaha Malaysia mencapai sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050.
Ia juga mengukuhkan keselamatan tenaga negara melalui kepelbagaian campuran tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import dan memanfaatkan sisa domestik sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.
Dalam pada itu, kejayaan projek itu sejajar dengan komitmen Malakoff untuk mengurus 10,000 tan sisa sehari menjelang 2031 menerusi strategi inovatif, bersepadu dan mampan.
Ia turut menyokong aspirasi Malakoff Environmental Solutions dalam menyediakan penyelesaian pengurusan alam sekitar yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar, selaras Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) nombor 11 iaitu menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.-UTUSAN










