PETALING JAYA: Catcha Digital Berhad optimis untuk mencatatkan pertumbuhan organik dua digit tahun ini di sebalik ketidaktentuan ekonomi global akibat kelemut politik antarabangsa dan pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Catcha Digital, Eric Tan berkata, pertumbuhan akan dipacu oleh pelan strategik yang telah diatur termasuk proses penggabungan dan pengambilalihan (M&A) mana-mana syarikat berdaya maju yang boleh menyumbang kepada pengembangan operasi Kumpulan.
Beliau berkata, segmen media dijangka kekal sebagai penyumbang utama kepada perolehan Kumpulan sebanyak 75 peratus, diikuti segmen perisian (software) dan lain-lain.
Katanya, pada tahun hadapan segmen perisian dijangka mencatatkan peningkatan yang lebih signifikan dalam sumbangan kepada perolehan Kumpulan hasil daripada beberapa pengambialihan yang dibuat sebelum ini.
“Kami menjangkakan pertumbuhan organik dua digit dalam semua segmen perniagaan dengan segmen media kekal penyumbang utama. Segmen perisian pula masih bahary dan akan terus memberikan pulangan secara signifikan pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Eric berkata, Kumpulan akan terus melaksanakan M&A membabitkan syarikat-syarikat yang dilihat berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan Kumpulan.
Katanya, proses M&A akan berlaku selepas penilaian teliti dilakukan terhadap potensi, kedudukan kewangan, bentuk perniagaan syarikat dan peluang pulangan yang bakal diperoleh oleh Kumpulan.
Baru-baru ini, Cactha Digital dilaporkan memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi digital di rantau ini melalui pengambilalihan 92.5 peratus kepentingan dalam Theta Service Partner Sdn. Bhd. (Theta), menerusi syarikat milik penuhnya, Catcha Thetha Holdingd.
Sebelum itu, Kumpulan mengumumkan perjanjian jual beli saham bersyarat untuk memperoleh 51 peratus pegangan dalam DS Services Sdn. Bhd. (Digital Symphony) dengan harga tunai RM22.95 juta yang dibayar dalam tiga peringkat dalam tempoh 24 bulan selepas penyempurnaan.
Kumpulan juga mengumumkan anak syarikatnya, iMedia Asia Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian untuk pengambilalihan 60 peratus saham dalam Framemotion Studio Sdn. Bhd.
“Kami akan meneruskan proses M&A membabitkan mana-mana jenama yang berpotensi dan berdaya maju dalam membantu pertumbuhan Kumpulan,” katanya.
Mengenai prospek masa hadapan, Eric berpandangan, industri media kekal relevan dan Catcha Digital sentiasa mempelbagaikan perniagaan bagi memenuhi kehendak para pelanggannya.
Malah katanya, Kumpulan juga akan terus mengintai peluang-peluang yang wujud di sebalik ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi global susulan pelaksanaan tarif oleh AS. – UTUSAN










