Zeekr perkenal SUV elektrik mewah 7X

Zeekr perkenal SUV elektrik mewah 7X

ZEEKR 7X
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Zeekr Group, syarikat kenderaan tenaga baharu (NEV) premium memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik mewah pertamanya khusus untuk keluarga, Zeekr 7X sempena Malaysia Autoshow 2025.

Model ini menandakan kemunculan pertama Zeekr 7X di Malaysia, dengan harga permulaan serendah RM182,000 terhad kepada 500 pelanggan pertama sahaja.

SUV ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu RWD Stan­dard, RWD Long Range dan AWD Performance, masing-masing disasarkan untuk ke­perluan berbeza pengguna.

Menurut Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, Alex Bao berkata, kemunculan Zeekr 7X bakal merintis era baharu bagi segmen SUV elektrik mewah di rantau ini.

Katanya, Zeekr 7X menerima sambutan menggalakkan di Si­ngapura dan Thailand sebelum ini dan Malaysia dilihat sebagai pasaran penting untuk pe­ngukuhan jenama di Asia Tenggara.

“Reka bentuk sofistikated, teknologi pintar dan pengalaman pemanduan yang menye­ronokkan menjadikan Zeekr 7X antara kenderaan paling menarik dalam pasaran.

“Dibina atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA), Zeekr 7X menawarkan jarak roda lebih panjang, kabin yang luas serta pengendalian mantap untuk keselesaan pemanduan jarak jauh.

“Ciri utama model ini termasuk pengecasan pantas 800V, pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (kmsj) dalam masa hanya 3.8 saat serta jarak perjalanan sehingga 600 kilometer (km) mengikut piawai­an Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Seluruh Dunia (WLTP).

“Sistem suspensi udara adaptif juga dipasang bagi membolehkan kenderaan menyesuaikan tahap ketinggian mengikut keadaan jalan, menjadikan pemanduan lebih selesa dan stabil,” katanya. 

Dalam masa sama, Zeekr turut memperkenalkan varian baharu MPV elektrik mewahnya, Zeekr 009 Executive, yang kini dibuka untuk tempahan de­ngan harga indikatif RM310,000 bagi 500 pelanggan pertama.

Model ini melengkapkan barisan sedia ada iaitu enam tempat duduk Ultra Luxury dan tujuh tempat duduk Luxury, memberikan lebih pilihan kepada pengguna.

Mengulas lanjut, Alex ber­kata, Zeekr 009 Executive dilengkapi dengan sistem pacuan roda hadapan, motor tunggal berkuasa 335hp, bateri 116kWh dan jarak pemanduan sejauh 604 km, menawarkan gabungan kuasa dan kecekapan.

“Kami turut memperkenalkan pilihan warna baharu iaitu hijau Mineral untuk model Zeekr 009 sedia ada bagi melengkapkan pilihan warna hitam Phantom dan putih Crystal.

“Zeekr 009 kekal sebagai model utama dalam segmen MPV elektrik mewah dengan penekanan terhadap keselesaan kabin, teknologi pintar serta prestasi pemanduan yang tenang dan lancar.

“Kedua-dua model Zeekr ini boleh dilihat lebih dekat di Malaysia Autoshow 2025 dan di semua bilik pameran Zeekr yang sah di seluruh negara,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×