Rel bandar berpotensi jadi pemacu logistik baharu

Rel bandar berpotensi jadi pemacu logistik baharu

RANGKAIAN rel bandar seper­ti LRT dan MRT mempunyai potensi besar untuk dioptimumkan sebagai saluran dwi-fungsi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA nilai pasaran e-dagang Malaysia melonjak 4.0 peratus kepada RM918.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, tekanan terhadap sistem logistik negara turut meningkat, mencetuskan keperluan mendesak untuk penyelesaian lebih lestari dan cekap.

Peningkatan permintaan peng­hantaran menyebabkan le­bih banyak kenderaan berada di jalan raya, sekali gus menyum­bang kepada peningkatan pe­lepasan karbon dan kesesakan yang merugikan ekonomi negara hampir RM20 bilion setahun.

Menghadapi cabaran ini, sektor pengangkutan Malaysia kini berada di persimpangan yang menuntut bukan sahaja pembangunan infrastruktur tambahan, tetapi juga pemikiran semula dalam penggunaan aset sedia ada, terutama rangkaian rel bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama Diolko, Yoann Gueguen berkata, rangkaian rel bandar seper­ti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) mempunyai potensi besar untuk dioptimumkan sebagai saluran dwi-fungsi.

“Dwi-fungsi ini adalah untuk mengangkut penumpang pada waktu puncak dan barang pada waktu luar puncak.

“Ini satu perubahan paradigma dalam pengurusan logistik bandar kerana Malaysia tidak semestinya perlukan lebih banyak jalan, tetapi cara lebih bijak untuk memanfaatkan apa yang telah ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, projek perin­tis kerjasama antara Diolko dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuktikan keberkesanan model ini apabila berjaya mengurangkan pe­le­pasan karbon sehingga 70 peratus bagi perniagaan terlibat, tanpa menjejaskan operasi penumpang sedia ada.

“Kerjasama awam-swasta ini menjadi contoh jelas bagaimana transformasi logistik boleh dicapai melalui pemanfaatan infrastruktur bandar sedia ada dengan kos dan gangguan minimum.

“Kerjasama antara Diolko dan Prasarana turut membuka nilai baharu daripada aset transit yang selama ini hanya digunakan untuk pergerakan manusia.

“Hasil awal projek sangat memberangsangkan dan memberi panduan berguna kepada bandar lain di rantau ini yang berdepan cabaran kesesakan serta pelepasan karbon,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak perkongsian awam-swasta digalakkan bagi mempercepatkan pelaksanaan penyelesaian logistik bandar hijau.

“Sokongan kerajaan melalui insentif dasar, kelonggaran peraturan dan perkongsian risiko pelaburan mampu mendorong inovasi sektor swasta untuk memastikan rangkaian rel bandar berkembang menjadi koridor pengangkutan pelbagai fungsi,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengasas Bersama Diolko, Onno Pfeiffer berkata, Malaysia memiliki aset logistik bandar yang bernilai tinggi dan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Rangkaian rel bandar bukan sekadar sistem pengangkutan penumpang. Ia boleh berfungsi serentak untuk penghantaran barang tanpa menjejaskan operasi sedia ada, sekali gus memberi impak besar kepada kelestarian bandar.

“Jadi, inisiatif seperti ini bukan hanya meningkatkan kecekapan tempatan, tetapi membuka ruang untuk Malaysia menjadi peneraju dalam logistik bandar lestari di rantau ini.

“Jika model seperti kerjasama Diolko dan Prasarana diperhalusi dan diperluas, Malaysia boleh mengetuai pembangunan pelan tindakan penghantaran hijau yang boleh dicontohi negara lain,” katanya.

Menurut Pfeiffer, integrasi sistem penghantaran ke dalam rel bandar menyokong secara langsung Dasar Pengangkutan Nasional dan komitmen Malaysia terhadap sasaran Net Zero 2050.

“Setiap tan barang yang dialihkan daripada lori ke rel bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah meningkatkan kualiti udara dan memperbaiki aliran trafik bandar. 

“Kami yakin Malaysia berpeluang menarik pelaburan asing dan memperkukuh reputasinya dalam forum kelestarian global jika terus mendahului dalam pelaksanaan logistik bandar hijau,” katanya. 

Tambahnya, matlamat ­akhir adalah untuk mewujudkan ekosistem bandar yang lebih efisien, adil dan lestari. 

“Penumpang turut mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang boleh dipercayai, perniagaan menikmati penyelesaian penghantaran kos efektif dan bandar menjadi lebih mesra penduduk dengan pengurangan pencemaran serta kesesakan,” katanya.-UTUSAN       

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN