Prospek pertumbuhan Sunway REIT kukuh

Prospek pertumbuhan Sunway REIT kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kewangan suku pertama 2025 Sunway REIT adalah sejajar dengan jangkaan, dengan prestasi runcit yang lebih kukuh di sebalik pengambilalihan baharunya mengimbangi suku yang lebih perlahan untuk segmen hospitaliti.

RHB Investment Bank Bhd berkata, pihaknya terus menyukai REIT tersebut untuk prospek pertumbuhan yang kukuh daripada portfolio terpelbagainya, serta peningkatan daripada strategi pemerolehan aktif dan inisiatif penambahbaikan aset (AEI).

Katanya, AEI di Sunway Carnival Mall telah siap pada bulan Mei dan pembukaan penuh kawasan yang dinaik taraf dijangka dalam masa sebulan diunjurkan menyumbang kepada kadar sewa lebih tinggi.

“Kami juga percaya masih terdapat ruang pertumbuhan organik daripada Sunway Pyramid dengan kesan penuh pembukaan kawasan Oasis, yang baru dibuka pada November 2024.

“Pengambilalihan AEON Mall Seri Manjung bernilai RM138 juta dijangka selesai pada suku ketiga 25, manakala penjualan kampus universiti dan kolej Sunway bernilai RM613 juta dijangka pada separuh kedua tahun ini. 

“Selepas transaksi ini dan perbelanjaan modal (capex) yang dirancang, pengurusan menjangka nisbah gearan REIT akan menurun ke bawah 40 peratus (suku pertama 2025: 41.8 peratus),” katanya dalam nota penyelidikan.

Keuntungan teras bagi suku pertama tahun kewangan 2025 Sunway REIT direkodkan sebanyak RM98.6 juta, menurun satu peratus berbanding suku sebelumnya tetapi meningkat 13 peratus secara tahunan. 

Pencapaian ini mewakili 25 peratus daripada unjuran tahunan oleh firma penyelidikan dan konsensus pasaran, sekali gus dilihat sejajar dengan jangkaan.

Pertumbuhan tahunan disokong oleh penyertaan hartanah baharu, termasuk enam Sunway REIT Hypermarkets, Sunway 163 Mall dan Sunway Kluang Mall. 

Ia berjaya mengimbangi prestasi lebih perlahan dalam segmen hospitaliti dan pejabat dan margin pendapatan bersih hartanah (NPI) kekal stabil pada 72 peratus (suku pertama 2024: 73 peratus).

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) model diskaun dividen (DDM) RM2.13, potensi kenaikan 10 peratus dan hasil enam peratus bagi tahun kewangan 2025.

“Kami menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2025 hingga 2027 masing-masing sebanyak dua peratus, tiga peratus dan tiga peratus, selepas menyemak semula andaian kadar penghunian dan sewa,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN