KUALA LUMPUR: Oasis Home Holding Bhd. membuat penampilan sulung di Pasaran Ace Bursa Malaysia Securities Berhad, apabila dibuka pada 28.5 sen, hanya setengah sen lebih tinggi daripada harga penawaran awam permulaannya (IPO) pada 28 sen.
Saham pemasar dan penjual produk gaya hidup pengguna secara omni-saluran itu jatuh serendah 25.5 sen dalam beberapa minit selepas dagangan dibuka dan diniagakan pada 28 sen setakat jam 9.10 pagi, selepas hampir 14 juta saham bertukar tangan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaden Teoh Yee Sang berkata, prestasi harga pembukaan saham selepas penyenaraian mencerminkan keadaan pasaran secara umum yang berada di luar kawalan.
Katanya, syarikat tidak terkecuali daripada turun naik jangka pendek, terutamanya disebabkan oleh faktor mikroekonomi yang berterusan serta ketidaktentuan yang masih membebani keyakinan pelabur.
“Oasis Home kekal fokus untuk melaksanakan strategi pertumbuhan kami dan membina nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
“Kami percaya bahawa kekuatan perniagaan dan prospek pertumbuhan kami akan terserlah pada harga saham dari semasa ke semasa apabila kami melaksanakan rancangan pengembangan operasi kami,” katanya semasa sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di sini, semalam.
Syarikat berjaya mengumpul RM42 juta dan lebih separuh daripada jumlah itu akan digunakan untuk mengembangkan saluran jualan perdagangan langsung (live commerce) dan menubuhkan pusat pemenuhan dalaman.
Sementara itu, baki selebihnya akan digunakan untuk menubuhkan ibu pejabat korporat baharu, sebagai modal kerja serta menampung perbelanjaan penyenaraian.
Mengulas mengenai tinjauan industri perdagangan langsung dalam talian, Jaden berkata, pertumbuhan pasaran ini diunjurkan pada kadar 42 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ujarnya, platform ini semakin menjadi pilihan bagi golongan milenial dan Generasi Z (Gen Z).
“Kami yakin bahawa industri ini mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi dan kami yakin terhadap masa depannya dalam beberapa tahun akan datang.
“Cuma dari segi penjenamaan, apabila terlalu banyak produk memasuki pasaran, banyak produk tanpa jenama memasuki platform-platform tertentu, jadi terdapat persaingan yang berlaku dari segi harga,” katanya.-UTUSAN







