Malaysia komited kembangkan eksport sawit ke Kenya - Utusan Malaysia

Malaysia komited kembangkan eksport sawit ke Kenya

JOHARI Abdul Ghani (empat dari kanan) bersama delegasi Malaysia semasa lawatan rasmi ke Kenya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia komited mengukuhkan perdagangan dua hala dengan Kenya dan meningkatkan hubungan perdagangan minyak sawit mampan dengan Afrika Timur, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Lawatan rasmi Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke Kenya yang muncul sebagai pengimport terbesar minyak sawit Malaysia di Sub-Sahara Afrika menggariskan fokus Malaysia untuk mengembangkan eksport minyak sawit berkualiti tinggi dan mampan ke rantau ini.

Sebagai hab ekonomi Afrika Timur dan ahli utama Komuniti Afrika Timur (EAC), Kenya memainkan peranan penting dalam perdagangan serantau kerana lokasi strategiknya menyediakan akses kepada lebih 330 juta pengguna di seluruh EAC, termasuk Uganda, Rwanda, Burundi dan Sudan Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, eksport minyak sawit Malaysia ke Afrika mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu 3.7 juta tan metrik pada 2024, dengan Kenya menyumbang 1.3 juta tan metrik, tertinggi dalam kalangan pengimport Afrika.

Ujarnya, Kenya bukan hanya pasaran, ia adalah pintu masuk ke rantau Afrika Timur yang lebih luas.

“Dengan peningkatan permintaan untuk minyak makan, asas pembuatan dinamik dan menambah baik infrastruktur logistik, Kenya menawarkan peluang jangka panjang yang ketara untuk minyak sawit Malaysia.

“Sejak lima tahun lalu, eksport kami ke Kenya meningkat lebih daripada dua kali ganda daripada 520,758 tan pada 2020 kepada 1.26 juta tan pada 2024, mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal dipercayai minyak sawit berkualiti tinggi dan mampan.

“Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi Kenya untuk memastikan bekalan yang stabil dan pasaran yang lebih mendalam integrasi,” katanya dalam kenyataan.

Semasa lawatan itu, Johari mengadakan beberapa siri penglibatan dengan pegawai utama kerajaan Kenya dan pihak berkepentingan industri.

Turut diketengahkan bahawa Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan Afrika Timur sebanyak tiga hingga empat juta tan minyak sawit setiap tahun, dan Kenya boleh berkembang menjadi hab pemprosesan hiliran utama untuk eksport semula ke pasaran seperti Kesatuan Eropah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN