Malaysia bijak tangani isu tarif, fokus teruskan inisiatif ASEAN-BAC - Utusan Malaysia

Malaysia bijak tangani isu tarif, fokus teruskan inisiatif ASEAN-BAC

NAZIR RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendekatan Malaysia yang berhemah dan strategik dalam menangani isu tarif oleh Amerika Syarikat (AS) perlu diberi pujian dan menjadi ikutan negara lain di rantau ini, menurut Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Tan Sri Nazir Razak.

Beliau berkata, kerajaan bertindak bijak dengan tidak memberi reaksi terburu-buru atau mengikut emosi terhadap tekanan tersebut, sejajar dengan usaha ASEAN-BAC menggerakkan inisiatif serantau.

“Pertama, Malaysia kekal tenang. Kedua, kita mengadakan libat urus untuk mengenal pasti sama ada isu ini hanyalah retorik atau sesuatu yang serius. 

“Ketiga, kita merangka strategi dan keempat barulah kita bersedia untuk berunding. Ini pendekatan terbaik,” katanya kepada pemberita sempena taklimat media perkembangan terbaharu 12 inisiatif ekonomi ASEAN-BAC di sini. 

Beliau turut menyentuh pendekatan beberapa negara lain yang bertindak balas secara terlalu cepat dan agresif, dan menyifatkan pendekatan Malaysia jauh lebih bijak dalam melindungi kepentingan ekonomi negara.

“Isu tarif ini dilihat sebagai sebahagian daripada cabaran yang menguji kesepaduan dan daya tahan ASEAN, terutama dalam usaha menyelesaikan pelbagai halangan perdagangan bukan tarif (NTB) yang semakin meningkat di rantau ini.

“Terdapat lebih 9,642 bentuk halangan bukan tarif yang dikesan di seluruh ASEAN, termasuk dalam urusan pensijilan halal antara Malaysia dan negara jiran seperti Indonesia dan Brunei.

“Masalah NTB ini bukan hanya menjejaskan hubungan antara negara, tetapi turut membebankan sektor swasta dan perusahaan kecil sederhana (PKS) yang mahu mengembangkan pasaran,” ujarnya.

Beliau mencadangkan ASEAN menjadikan rundingan dengan AS sebagai peluang untuk menyemak dan menilai semula NTB yang tidak lagi relevan atau menghalang kerjasama serantau.

Selain isu tarif dan NTB, Nazir turut memberi kemas kini tentang kemajuan pelbagai inisiatif di bawah ASEAN-BAC, termasuk projek ASEAN Business Entity (ABE) dan rangka kerja pasaran swasta serta filantropi.

“Sebahagian inisiatif seperti rangka kerja filantropi dan laporan pasaran swasta telah siap dan akan diserahkan kepada pemimpin ASEAN hujung bulan ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, taklimat telah diberikan kepada Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan Menteri Kewangan dan ASEAN-BAC akan bertemu pemimpin ASEAN di Genting Highlands pada penghujung Mei untuk pembentangan penuh.

Nazir berkata, inisiatif yang dicadangkan oleh ASEAN-BAC tidak memerlukan balasan timbal balik daripada negara lain.

“Sekiranya Malaysia sahaja yang melaksanakannya, kita tetap untung. Contohnya, sekiranya kita permudahkan syarikat multinasional seperti Standard Chartered beroperasi dengan lancar di Malaysia, kita akan jadi lokasi pilihan,” jelasnya.

Beliau juga mengkritik kecenderungan ASEAN meletakkan sasaran tinggi tetapi sukar dicapai dan menekankan pentingnya pelaksanaan yang realistik dan boleh dicapai.

“Kalau sasaran terlalu tinggi dan tiada pelaksanaan berperingkat, akhirnya kita tidak bergerak ke mana-mana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya