24 negeri AS saman tarif global Trump - Utusan Malaysia

24 negeri AS saman tarif global Trump

SEORANG penunjuk perasaan memegang sepanduk bertulis 'tarif adalah teruk' di luar Mahkamah Agung AS di Washington, DC.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kira-kira 24 negeri di Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman bagi mencabar tarif global baharu yang diperkenalkan Presiden Donald Trump, susulan keputusan Mahkamah Agung berhubung dasar perdagangan tersebut sebelum ini.

Peguam negara dan gabenor daripada Parti Demokrat yang terlibat dalam saman itu berhujah Trump melangkaui kuasanya dengan mengenakan tarif 15 peratus ke atas sebahagian besar negara di dunia.

Trump bagaimanapun menegaskan tarif tersebut penting bagi mengurangkan defisit perdagangan AS yang sekian lama berlarutan.

Beliau mengenakan cukai itu di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 selepas Mahkamah Agung membatalkan tarif yang diperkenalkan tahun lalu di bawang undang-undang kuasa darurat.

Seksyen 122, yang tidak pernah digunakan sebelum ini, membenarkan presiden mengenakan tarif sehingga 15 peratus, namun ia hanya boleh dikuatkuasakan selama lima bulan kecuali dilanjutkan oleh Kongres.

Saman tersebut diketuai oleh peguam negara dari negeri Oregon, Arizona, California dan New York.

Peguam Negara Oregon, Dan Rayfield berkata, tumpuan ketika ini sepatutnya diberikan kepada pembayaran balik kepada pihak terjejas, bukan meneruskan pelaksanaan tarif yang disifatkan tidak sah.

Saman itu dibuat sehari selepas hakim memutuskan syarikat yang membayar tarif di bawah rangka kerja lama Trump berhak mendapat bayaran balik.

Saman baharu itu berhujah Trump tidak boleh beralih kepada Seksyen 122 kerana peruntukan itu hanya bertujuan digunakan dalam keadaan tertentu dan terhad, bukan untuk cukai import yang meluas.

Ia turut mendakwa tarif itu akan meningkatkan kos kepada kerajaan negeri, perniagaan dan pengguna.

Banyak negeri terbabit sebelum ini juga berjaya mencabar tarif yang dikenakan Trump di bawah undang-undang lain, iaitu Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).

Empat hari selepas Mahkamah Agung membatalkan tarif menyeluruh di bawah IEEPA pada 20 Februari lalu, Trump menggunakan Seksyen 122 untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan import.

Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, memberitahu laman bewrita CNBC pada Rabu lalubbahawa pentadbiran akan menaikkan levi kepada had maksimum 15 peratus minggu ini.

Negeri-negeri yang dipimpin parti Demokrat serta pengkritik lain berkata, presiden tidak boleh menggunakan Seksyen 122 sebagai pengganti kepada tarif yang dibatalkan bagi menangani defisit perdagangan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN