Trump akan naik tarif global kepada 15 peratus - Utusan Malaysia

Trump akan naik tarif global kepada 15 peratus

KAPAL kontena berlabuh di Pelabuhan Jersey, New Jersey, bulan lalu. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata semalam bahawa beliau akan menaikkan tarif global kepada 15 peratus tetapi tidak memberikan butiran lanjut tentang kenaikan itu.

Beliau membuat kenyataan itu beberapa jam selepas menandatangani satu proklamasi pelaksanaan tarif global sebanyak 10 peratus susulan keputusan Mahkamah Agung AS untuk membatalkan kebanyakan levi beliau.

Trump membuat pengumuman tersebut dalam satu hantaran media sosial di mana beliau sekali lagi mengecam mahkamah tertinggi itu atas apa yang didakwanya sebagai keputusan tidak masuk akal dan amat anti-Amerika.

“Dalam beberapa bulan yang singkat akan datang, pentadbiran Trump akan menentukan dan mengeluarkan tarif baharu yang sah di sisi undang-undang, yang bakal meneruskan proses luar biasa kita untuk menjadikan Amerika hebat semula. 

“Lebih hebat daripada sebelum ini,” tulisnya tanpa memberikan butiran lanjut.

Kadar 15 peratus  itu merupakan had tertinggi yang dibenarkan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.

Pada petang Jumaat lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif yang menaikkan tarif yang sebelum ini lebih rendah ke atas hampir setiap negara di luar AS kepada 10 peratus.

Setakat ini belum diketahui sama ada kadar 15 peratus yang baharu itu akan bermula pada Selasa ini.

Terdahulu, Trump membayangkan pelan alternatifnya untuk mengenakan tarif di bawah kuasa undang-undang yang berbeza, sambil mengkritik keputusan Mahkamah Agung sebagai amat mengecewakan.

“Alternatif lain kini akan digunakan untuk menggantikan yang telah ditolak secara salah oleh mahkamah,” kata Trump kepada wartawan di bilik taklimat Rumah Putih. 

“Kita ada alternatif, alternatif hebat, mungkin lebih banyak hasil. Kita akan mengutip lebih banyak wang dan kita akan menjadi jauh lebih kuat kerananya,” tambahnya.

Namun, tarif sedemikian hanya boleh bertahan selama 150 hari tanpa kelulusan Kongres AS.  – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN